Thursday, March 05, 2009

.:: Biarkan Anak Kita Memburu Impian ::.

Anak-anak zaman teknologi maklumat dikatakan hidup penuh kemodenan dan menuntut sesuatu di luar jangkauan ibu bapa.

Adakala mereka merungut ibu bapa kurang memahami kehendak dan naluri mereka.

Konflik yang timbul apabila ibu bapa pula menuduh anak-anak tidak mendengar kata bahkan mengingkari suruhan mereka.

Jurang yang ada kadangkala membentuk perbezaan ketara antara kedua-dua generasi berkenaan.


Ibu dan bapa dipinta supaya memahami anak-anak misalnya dari segi impian sebenar anak, memberi mereka peluang dan ruang memilih cara hidup sendiri.

Jika tidak betul, tegur mereka di samping jelaskan langkah yang tidak wajar dilakukan itu. Teguran yang baik lazimnya memberikan kesimpulan yang sempurna.

Biarlah anak-anak membesar dengan mengejar impian mereka yang sememangnya diidamkan sejak kecil lagi. Bagi anak-anak yang mempunyai ibu dan bapa yang memahami situasi mereka, jangan ambil kesempatan atas kepercayaan yang diberikan keluarga.

Berikut antara petua yang mungkin boleh dijadikan sandaran ibu bapa dalam membentuk anak-anak dan begitu juga sebaliknya.

Petua bagi ibu bapa:

  • Jadikan anak anda sebagai rakan, tetapi biarlah ada batasnya.

  • Sering bercerita mengenai kehidupan sebenar kepada anak-anak.

  • Jangan didik anak dengan serba kemewahan, biarkan mereka berdikari sendiri untuk mencari sesuatu.

  • Ajar anak-anak cara melakukan sesuatu kerja seperti membersih rumah, memasak atau membeli barang.

  • Didik anak dengan ajaran agama secukupnya.

    Petua bagi anak:

  • Jangan membuatkan bapa dan ibu risau mengenai diri anda.

  • Jika hidup merantau, sering hubungi keluarga dan bertanya khabar. Apabila pulang ke kampung, bawalah buah tangan ringkas. Keluarga tidak memerlukan barangan mewah, yang penting adalah kepulangan anda.

  • Ajak bapa dan ibu keluar membeli-belah bersama. Bagi mereka yang sudah bekerja, keluarkan perbelanjaan menggunakan duit anda sendiri.

  • Jika ada duit lebih, ajak bapa dan ibu melancong bersama.
  • No comments:

    Post a Comment