Wednesday, August 26, 2009

.:: PAS kekalkan kerusi DUN Permatang Pasir, majoriti 4,551 ::.

Majoriti calon PAS jatuh 852 undi
Penyokong-penyokong BN dan PAS kelihatan 'penat' dan hanya duduk di bahu jalan berhampiran pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lay Keow, Permatang Pasir. Suasana sekitar 12.40 tengah hari. Suara sorakan tidak kedengaran dan kehadiran pengundi juga kurang.
NASIHAT... Pengarah Pilihan Raya Negeri Kelantan, Abd. Rahim Mohd. Salleh menasihatkan penyokong PAS menanggalkan lambang parti itu pada topeng perlindungan pernafasan di kawasan Samagagah. Penyokong PAS ini pula berhujah ia cuma topeng perlindungan pernafasan bagi mengelak dijangkiti wabak influenza A(H1N1). SPR menguatkuasakan larangan mempamerkan lambang, logo dan bendera parti di kawasan sekitar pusat pengundian pada hari mengundi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.
PETI-peti undi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang telah dibawa ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam.
CALON PAS, Mohd Salleh Man dijulang oleh penyokong-penyokongnya selepas diumumkan memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Institit Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, sebentar tadi.--fotoBERNAMA

BUKIT MERTAJAM: PAS mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi di sebalik penurunan jumlah pemilih yang keluar mengundi.

Pada pilihan raya kecil ini, PAS diwakili Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man manakala Barisan Nasional (BN) pula Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

Salleh memperoleh 9,618 undi, sekali gus berjaya dalam percubaan kali keenam bertanding pilihan raya.

Dalam reaksinya, Salleh, 52, menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan bermakna bagi PAS dan Pakatan Rakyat.

"Ini menunjukkan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan kukuh dan akan merapatkan kerjasama di kalangan anggota komponen Pakatan Rakyat," kata beliau yang tiba di pusat penjumlahan undi IKBN pada pukul 6.30 petang dengan berpakaian batik.

Rohaizat, 38, pula mendapat 5,067 undi. Undi rosak adalah sebanyak 83.

Rohaizat menerima keputusan ini dengan menganggapnya sebagai satu proses demokrasi.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Salleh Man dan berharap beliau akan melaksanakan khidmat dengan baik kepada masyarakat Permatang Pasir," kata beliau ketika dihubungi.

Jelas beliau, undi yang diperolehnya adalah konsisten dengan apa yang diterima pada Mac 2008 dan ia juga menunjukkan BN masih mempunyai sokongan padu. Seramai 14,832 orang ataupun 73.1 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir hari ini. Jumlah pemilih adalah seramai 20,290 orang.

Pada Mac 2008, PAS memenangi kerusi Permatang Pasir buat kali ketiga berturut-turut dengan kelebihan 5,433 undi.

Keputusan rasmi pilihan raya kecil diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya pada pukul 7.30 petang - tepat waktu berbuka puasa di sini.

Pengumuman kali ini, yang dilihat paling cepat berbanding mana-mana pilihan raya yang lain dibuat dalam waktu yang singkat.

Awalnya SPR telah bercadang untuk membuat pengumuman keputusan pada pukul 8 malam.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, kerusi itu dimenangi buat kali ketiga oleh Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman yang memperoleh 11,004 undi.

Ketika itu peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 82.5 peratus. Kali ini peratusan keluar mengundi hanya 73.1 peratus.

Beliau meninggal dunia pada 31 Julai lalu, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil ini.

PAS dan BN turun gelanggang pilihan raya kecil ini masing-masing untuk mengekalkan dan merampas kerusi ini.

BN kehilangan kerusi ini pada tahun 1999.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan hari ini merupakan pengertian bermakna kepada pihaknya selepas menang tipis pada pilihan raya DUN Manek Urai bulan lalu.

Mengenai penurunan majoriti, Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, "saya hanya mengharapkan kemenangan walaupun satu undi."

"Sebenarnya ami telah bekerja keras ke arah kemenangan lebih besar dan sebagaimana saya katakan sebelum ini, kemenangan dengan majoriti satu undi pun kemenangan juga," katanya.

BERITA TERDAHULU:

Keputusan tak rasmi: PAS kekal DUN Permatang Pasir

SEBERANG PRAI: Keputusan tidak rasmi menunjukkan PAS mengekalkan kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti lebih 5,000 undi.

Setakat pukul 6.55 petang, PAS dipercayai memperoleh 8,524 undi manakala calon BN pula 4,063.

Undi dari satu lagi daerah belum dikira.

Setakat pukul 7 malam, kira-kira 1,000 undi masih belum dikira.

Seramai 14,832 orang ataupun 73.1 peratus telah keluar mengundi.

PAS diwakili Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man manakala, Barisan Nasional (BN) diwakili Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

BERITA TERDAHULU:

Undi berakhir, 73% keluar mengundi: Keputusan jam 8

SEBERANG PRAI: Proses mengira undi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir sedang berlangsung dengan peratusan keluar hanya 73 peratus.

Peti undi pertama akan tiba di pusat penjumlahan di IKBN menjelang 7 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan paras itu sebagai memuaskan walaupun kurang sembilan peratus berbandung tahap dicapai pada Mac 2008.

"Apa sahaja paras melebihi 70 peratus kami gembira, kemungkinan 73 peratus ini kerana ramai pengundi di luar Permatang Pasir tidak pulang untuk mengundi, keadaan cuaca bukan masalah... cuaca baik," katanya. Proses pengundian berlangsung dengan lancar walaupun wujud ketegangan di sana sini, tetapi rata-rata penyokong parti menyifatkan sebagai "hari pengundian yang membosankan" kerana terlalu banyak peraturan dikuatkuasakan.

Pengundian ditutup pukul 5 petang tadi.

Keputusan akan diumum pukul 8 malam ini.

BERITA TERDAHULU:

SEBERANG PRAI: Pengundian pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir sudah berakhir dengan peratusan keluar mengundi dalam lingkungan 75 peratus.

Proses pengundian berlangsung dengan lancar walaupun wujud ketegangan di sana sini, tetapi rata-rata penyokong parti menyifatkan sebagai "hari pengundian yang membosankan" kerana terlalu banyak peraturan dikuatkuasakan.

Pengundian ditutup pukul 5 petang tadi.

Keputusan akan diumum pukul 8 malam ini.

BERITA TERDAHULU:

Dilarang rayu undi: Penyokong bosan, tinggalkan tempat undi

SEBERANG PRAI: Peratusan pengundi yang keluar mengundi mengalami peningkatan selepas tengah hari tetapi penyokong-penyokong parti yang bertanding pula sudah meninggalkan kawasan pusat pengundian ekoran penguatkuasaan peraturan-peratusan baru di Permatang Pasir.

Penyokong-penyokong parti yang bertindak sebagai perayu bertindak meninggalkan kawasan pusat pengundian sejak 1 tengah hari tadi, dipercayai selepas bosan kerana tidak boleh 'berkempen' dan merayu undi pada minit-minit terakhir kali ini.

Difahamkan ia juga ada kaitan dengan bulan Ramadan yang bermula 22 Ogos lalu.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, jumlah yang keluar mengundi sudah mencecah lebih 60 peratus setakat 3 petang tadi.

"Sehingga 1 tengah hari, 53.3 peratus sudah keluar mengundi," kata beliau ketika dihubungi.

Kadar itu meningkat kepada 65 peratus setakat 3 petang.

Mengenai trend yang menunjukkan perayu-perayu sudah mula meninggalkan kawasan pengundian, Wan Omar juga mengesahkannya sambil menganggap ia sebagai perkembangan baik.

"Selain bulan puasa, kami juga telah meminta mereka meninggalkan kawasan pengundian. Malah, mereka juga merasakan apabila tidak boleh bawa lambang dan bendera, dan tidak boleh merayu undi, mereka pun sudah rasa bosan dan tiada semangat," katanya.

Kakitangan dan pegawai SPR dengan bantuan polis meminta penyokong-penyokong parti yang bertanding agar tidak menunjukkan lambang dan bendera sambil merayu undi.

Barong dan pusat semakan pengundi juga tidak disediakan kali ini.

Ia sebahagian daripada lapan peraturan dikuatkuasakan pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir hari ini.

Suasana juga tidak ceria kerana kenderaan membawa pengundi tidak dibenarkan membawa bendera dan lambang serta logo parti.

Pergerakan lalu lintas yang sesak sebelah pagi juga mula lancar selepas 1 tengah hari.

Kata Wan Ahmad,jika cuaca adalah baik paras keluar mengundi boleh mencapai 70 hingga 75 peratus menjelang 5 petang ini.

Tinjauan mStar Online mendapati bilangan keluar mengundi mula cergas selepas 1 tengah hari tadi.

Difahamkan setakat 1 tengah hari tadi, 48 peratus pengundi Melayu dan 38 peratus pengundi Cina sudah menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain bulan puasa dan hari bekerja kadar peratusan keluar mengundi yang kecil sehingga tengah hari tadi dipercayai berkaitan dengan kesesakan lalu lintas.

BERITA TERDAHULU:

47 peratus keluar undi, rendah daripada jangkaan SPR

SEBERANG PRAI: Hanya sekitar 47 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pasir setakat tengah hari.

Bagaimanapun paras itu lebih rendah daripada 50 peratus yang dijangkakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

"Cuma 41 peratus yang telah keluar mengundi setakat menjelang tengah hari. Tidak tahu apa sebabnya, mungkin lebih ramai akan keluar mengundi antara 12 tengah hari dan 2 petang kerana bekerja," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Angka itu meningkat kepada 47.2 peratus atau 9,573 orang pada pukul tepat 12 tengah hari.

Dalam pada itu, tinjauan mStar Online di kawasan pusat pengundian Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lay Keow, Permatang Pauh mendapati para penyokong PAS dan BN yang berkumpul kelihatan letih.

Mereka yang bersemangat dan bersorak sejak 8 pagi tadi, sudah tidak bersorak dan hanya duduk di bahu jalan bermula tengah hari tadi.

Tengah hari tadi ada pekerja BN yang kedengaran sebagai berkata, "sudah 'boringlah' (sudah bosan), tak ada orang."

Kenderaan yang membawa pengundi juga sudah mula berkurangan.

Proses pengundian sedang berlangsung dengan lancar di sebalik kawalan polis yang ketat dan penguatkuasaan peraturan-peraturan baru.

Suasana itu turut diakui oleh Wan Ahmad dan wakil badan pemantau Mafrel, Harryzan Yaakub.

"Suasana tenang sehingga 11 pagi dan ia berlainan berbanding pilihan raya kecil sebelum ini," kata Harryzan ketika ditemui.

Wan Ahmad pula berkata, suasana proses pengundian adalah lebih baik berbanding dengan Manek Urai bulan lalu.

"Tiada pondok panas, tiada barong. Ini petanda baik.

"Tetapi tindakan berkumpul di sepanjang jalan di kawasan 50 meter dari tempat mengundi masih berterusan. Ini sukar untuk dikawal dan mungkin mengambil masa," katanya.

Tinjauan juga mendapati kesesakan tidak seteruk dijangkakan sebelum ini.

Tetapi ketegangan membabitkan penyokong-penyokong parti yang bertanding tercetus khususnya di kawasan pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Seri Penanti - di Kubang Semang.

Kawasan Kubang Semang juga mengalami kesesakan teruk.

Seramai 20,290 orang layak mengundi.

Tujuh orang telah mengundi semalam.

BERITA TERDAHULU:

41 peratus keluar undi, rendah daripada jangkaan SPR

SEBERANG PRAI: Hanya sekitar 41 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pasir setakat tengah hari.

Bagaimanapun paras itu lebih rendah daripada 50 peratus yang dijangkakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

"Cuma 41 peratus yang telah keluar mengundi setakat tengah hari. Tidak tahu apa sebabnya, mungkin lebih ramai akan keluar mengundi antara 12 tengah hari dan 2 petang," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Proses pengundian sedang berlangsung dengan lancar di sebalik kawalan polis yang ketat dan penguatkuasaan peraturan-peraturan baru.

Tinjauan mendapati kesesakan tidak seteruk dijangkakan sebelum ini.

Tetapi ketegangan membabitkan penyokong-penyokong parti yang bertanding tercetus khususnya di kawasan pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Seri Penanti - di Kubang Semang.

Seramai 20,290 orang layak mengundi.

Tujuh orang telah mengundi semalam.

BERITA TERDAHULU:

28.5 peratus keluar mengundi dalam 2 jam pertama

SEBERANG PRAI: Proses pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pasir sedang berlangsung dengan lancar di sebalik kawalan polis yang ketat dan penguatkuasaan peraturan-peraturan baru.

Tinjauan mStar Online mendapati kesesakan tidak seteruk dijangkakan sebelum ini.

Tetapi ketegangan membabitkan penyokong-penyokong parti yang bertanding tercetus khususnya di kawasan pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Seri Penanti - di Kubang Semang.

Dalam tempoh dua jam pertama, peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 28.5 peratus atau 5,775 orang.

Seramai 20,290 orang layak mengundi.

Tujuh orang telah mengundi semalam.

No comments:

Post a Comment