Sunday, August 30, 2009

.:: Kami Bukan Warga Cawat ::.

ya Ramba

Aku memberikan warkah yang ditulis kepada salah seorang pemimpin perpaduan. Dia merenung wajahku yang berkerut. Beberapa orang menghampiri kami. Kemudian beberapa kumpulan menyusul lagi dengan semangat juang tinggi.

“Bukan kerana nenek moyang kita! Bukan!” Teriak beberapa orang pemuda yang masih kemarahan.

Aku tahu memang budaya sirat adalah pakaian keturunan yang masih digunakan hingga hari ini. Sirat bukan cawat! Memang bukan seluar! Bukan juga baju! Makin bersirat, makin kelihatan segak seperti pahlawan yang tidak mudah ditembusi senjata. Apakah dengan sejarah bersirat, kita terus dipandang rendah? Itu namanya bercawat? Aku menggeleng-geleng kepala apabila disentuh oleh seorang pemuda.

Kita bukan bangsa miskin! Kita bukan bangsa kuno! Kita bukan bangsa tumpul! Bukan pemalas! Bukan bangsa lemah! Kita pemilik sejarah hebat! Kita manusia terhebat! Kita pemimpin hebat! Kita lebih maju! Kita lebih maju ke depan! Bukan seperti mereka!!! Bergemuruh suasana dengan kutukan marah ketua perhimpunan. Dia memang seperti seorang pahlawan moden, bertepatan dengan gayanya berkot lengkap.

“Warkah anda lengkap! Anda generasi yang paling ideal! Anda berhak memimpin kita!” ujar salah seorang pemuda yang jelas tidak gembira.

Aku hanya mengangguk.

“Semua tulisanmu sudah sampai ke destinasinya. Kita tidak perlu menelanjangkan diri dengan corak sirat keturunan!” ujar seorang tua yang sempat menggaru-garu kepala.

Tiba-tiba satu pengumuman menguasai suasana. Sepi seketika, hanya kelihatan orang ramai bersesak-sesak. Seorang pemuda dengan alat siaraya mengangkat tangan. Terlebih dahulu, air matanya dibiarkan menitis, jatuh membasahi hujung kasutnya.

“Kami bukan kaki kasut! Jangan kerana politik kaum dicaci! Jangan kerana parti, masyarakat berpecah-belah! Jangan kerana politik, budaya dihina! Pisahkan kami daripada politik! Pisahkan kami daripada dendam politik! Pisahkan kami daripada kongkongan politik! Jangan menghina budaya bersirat! Kami bukan warga cawat!!” laungan keramat pemuda itu disambut oleh tepukan gemuruh.

Dadaku berdebar-debar menanti sebentar lagi rombongan dari Batang Ai akan datang. Juga beberapa orang pemimpin rumah panjang akan hadir, dengan suara bantahan. Dengar khabar, mereka akan datang dengan penuh kejutan. Dalam aku berdiri terpinga-pinga, keriuhan tiba-tiba terhenti. Aku memanjangkan pandangan:

Tikar bercorak tradisi dihambarkan. Lalu duduk beberapa orang tua bersirat dan berpakaian tradisi lengkap. Di tengah-tengah mereka, diletakkan alat upacara. Beberapa keping pinggan berukiran naga diletakkan di tengah tikar berukiran. Juga, mangkuk khas kegunaan upacara. Dua ekor ayam jantan, ditambat pada satu tiang khas. Lima tokoh yang berwajah serius mula menjalankan tugas masing-masing. Sedangkan para hadirin terus menyaksikan gelagat mereka tanpa sesiapa pun berani bersuara dalam keadaan panas terik.

“Kita akan minta pengadilan daripada leluhur! Kita bukan warga cawat yang menghina leluhur! Biar mereka menghukum mangsanya,” ujar seorang tua yang kelihatan ukiran tatu tradisi di segenap tubuhnya. Wajahnya berkedut menandakan dia tidak suka dengan kerjanya dalam usianya yang lanjut.

Pinggan batu berukir itu diserahkan. Diletakkan penuh berhati-hati semua alat yang digunakan. Beberapa ubat-ubatan turut diletakkan di sebuah mangkuk besar. Ketua miring mengambil terlebih dahulu semua kegunaan dan diikuti oleh empat orang pengikutnya. Botol tapai dituang ke gelas dan diserahkan kepada setiap mereka. Kelima orang ketua adat berpandangan selepas menaburkan rendai ke udara.

“Bunuh ayam!” arah ketua adat.

Seorang pemuda mula memegang ayam jantan itu. Seorang lagi membantunya. Selesai tugas mereka, bulu ayam berdarah diserahkan. Bulu-bulu ayam itu diletakkan di dalam pinggan. Pinggan itu dibawa, diletak di tempat khas.

“Selesai!” ujar ketua adat sambil berdiri. Dia lalu mengarah beberapa orang pemuda membuat kerja mereka. Ketika itu tepukan gemuruh berdansa semula sehingga lubang telinga para hadirin memekak.

“Bakar!” Aku terdengar arahan seseorang. Dalam masa yang singkat, aku melihat asap naik. Aku melangkah dekat. Beratus-ratus bendera parti berwarna hijau berukiran bulan dibakar. Seorang pemuda mengangkat seguni. Seorang lagi mengeluarkannya, lalu dikoyakkan mereka secara beramai-ramai. Kemudian, terus dilemparkan ke arah api yang sedang marak.

“Kita bangsa bermaruah! Kita bangsa beradat! Kita bukan bangsa berpolitik! Kita bangsa di bumi kita! Kita benci politik! Kita benci parti!!!” ujar pemuda yang memegang alat siar raya itu.

“Kita mahu sang pemimpin itu tarik balik kata-katanya! Memohon maaf!” ujar pemuda itu lagi.

Aku pula cuba meminggirkan diri daripada kesesakan. Namun, seseorang memegang tanganku. Aku tidak berpaling, cuma sempat memandang beberapa orang bangsaku menitis air mata. Aku tahu, mereka kecewa kerana mereka terlalu kecewa. Mereka bangsa bermaruah, bukan bangsa yang ketinggalan. Mereka bencikan berpolitik. Mereka bangsa asalnya keturunan yang beradat. Bangsa kaya budaya! Bangsa yang sudah maju! Aku terus melangkah, mencari keasingan yang tanpa manusia.

“Politik membunuh perpaduan! Politik mencipta perpecahan! Politik penindasan! Politik tidak berbudaya! Parti bintang ialah parti jumud! Parti bintang jalang!!!” Aku melangkah dalam keadaan telingaku masih dilesit kata-kata tegas dari belakang.

“Kami bukan warga cawat!!!” Berkali-kali suara tegas, nyaring itu berkumandang.

No comments:

Post a Comment