Saturday, July 18, 2009

.:: Milik Siapa Diri Ini? ::.

"Kau menangis Damiya?"

Kedengaran suara halus menyapaku. Pantas aku menyapu airmata. Cepat-cepat aku menggelengkan kepala. Berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Tidak, aku tak menangis!" Aku menjawab, berbohong.

"Usah bohong, aku melihat airmata kau jatuh baru sekejap tadi" Suara itu masih tidak puas memerli. Aku menjadi geram.

"Jika benar aku menangis, kau peduli apa?" aku mula meninggikan suara. Airmata ini milik aku, aku berhak berbuat apa padanya. Naluri dan perasaan ini milik aku, terserah kepada aku ingin bagaimana.

Adakah dia buta? Tidakkah dia nampak, aku sedang menangis. Tidakkah dia tahu, aku menangis kerana sedih dan luka, tidakkah dia simpati kepada aku? Owh, aku tidak mengharapkan belas sesiapa, cuma aku harapkan 'mereka' mengerti gejolak perasaan yang sedang memberat di dada ini, supaya mereka memahami dan usah menambah racun pada luka yang sedang berdarah. Aku tak mahu!

"Maafkan aku kerana bertanya, kau menangis kerana apa?" suara itu masih lagi bertegas untuk menambah luka di hati aku, masih lagi ingin membuat aku mengimbas cerita hitam yang baru saja berlalu. Aku mengunci bibir, ingin mengendahkan sahaja pertanyaan dia.

Suasana sepi seketika. Di dalam hati aku berharap agar dia segera berlalu pergi meninggalkan aku sendirian, agar aku bebas berbuat apa saja, menangis meraung sepuas hatiku, bebanan derita yang sedang sarat aku tanggung ini terlalu mendera batinku. Sakit benar rasanya.

"Adakah kau menangis kerana kau berdosa pada Tuhanmu?" Dia masih lagi ada di situ rupanya. Soalan itu diajukan kepada aku, membuatkan aku tersentak.. Otakku ligat berputar. Aku ingin bersuara tapi lidahku menjadi kelu, di dalam dada ia bergema..

"Aku punyai kekasih hati, kami pernah bahagia bersama, sentiasa berdua-duaan seperti belangkas, makan sepinggan dan tidur sebantal, ya, kami berzina, tapi aku bukan sedang menangis kerana dosaku itu, tapi aku menangis kerana kekasihku sudah pergi meninggalkan aku.." aku merintih hiba, tanpa suara, airmata mengalir deras. Sedih dan pedih kerana dikhianati insan yang pernah berjanji setia ingin sehidup semati denganku.

"Kau milik siapa?Air mata kau milik siapa?" suara itu masih lagi bertanya. Aku menyapu airmata yang sedang mengalir dipipi. Cuba mencari jawapan.

"Dulu aku milik kekasihku, tapi kini dia sudah pergi meninggalkan aku, airmata ini juga untuknya, airmata ini tumpah kerana dia!" Aku cuba menjawab, namun lidahku masih kelu. Bisu. Lantas, soalan demi soalan bertalu-talu mengetuk gegendang telingaku.

"Tahukah kau siapa yang menciptamu?"

"Tahukah kau mengapa kau di dunia ini?"

"Tahukah kau apa itu dosa dan apa itu pahala?"

"Tahukah kau setiap yang hidup pasti akan mati?"

"Tahukah engkau, hari pembalasan akan tiba?"

"Tahukah kau, api neraka sangat panas?"

"Tahukah kau, seksaan Allah amat pedih?"

"Tahukah engkau kau milikNya"

"Tahukah engkau semua yang kau miliki adalah pinjaman"

"Tahukah engkau, kau milik Allah?"

Bertali arus persoalan itu menerjah benakku..Aku cuba menutup telinga dengan kedua belah tanganku namun hampa. Bunyinya masih bergema..Dari mana suara itu datang? Aku tertanya-tanya..

Aku terkesima. Rupa-rupanya suara itu datang dari lubuk hati aku sendiri. Hadir kerana aku yang telah banyak melakukan dosa dan sering melupakan Tuhan. Aku bertanya sendirian, aku milik siapa? Airmata ini untuk apa? Aduh...jiwaku kian parah..

"Aku milik Tuhanku, jiwa ini milikNya, jasad ini milik Nya..ampunkan aku Tuhan, aku hamba yang berdosa...aku ingin kembali dekat padaMu..ampunkanlah aku Tuhan..."

Dan kini, airmata kian deras mengalir..bukan lagi kerana ditinggalkan kekasih hati, tapi aku menangis kerana dosa-dosa silam. Sungguh..hanya Dia yang Maha Berhak.

Sekian. Tamat.


No comments:

Post a Comment