Monday, March 16, 2009

.:: Chelsea Tetap Megah ::.

Jaringan Essien pastikan The Blues kutip tiga mata

LONDON: Peningkatan mengejut Chelsea di bawah jurulatih baru, Guus Hiddink berterusan malam tadi apabila gol Micheal Essien memberikan kemenangan 1-0 ke atas Manchester City di tempat sendiri bagi membolehkan mereka kembali melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).

Essein yang kembali selepas berehat panjang akibat kecederaan lutut berjaya menewaskan penjaga gol City, Shay Given untuk menjaringkan gol pada minit ke-18 dan kemenangan itu memastikan Chelsea berada empat mata di belakang pendahulu Manchester United yang tewas 4-1 di tempat sendiri kepada Liverpool, kelmarin.

Juara bertahan, United yang kekurangan satu perlawanan daripada pesaing mereka, mengumpul 65 mata manakala kedua-dua Chelsea dan Liverpool memiliki 61 mata.

Dalam satu lagi perlawanan semalam, Tottenham Hotspur menewaskan Aston Villa 2-1 di Villa Park.

Sejak Hiddink, jurulatih kelahiran Belanda itu menggantikan Luiz Felipe Scolari yang dipecat Februari lalu, Chelsea menang tujuh perlawanan dan selepas kekalahan United kelmarin, mereka kekal dalam posisi untuk memburu gelaran juara.

Hiddink turut membantu mereka mara ke separuh akhir Piala FA dan suku akhir Liga Juara-Juara.

Kata Hiddink: “Jika bezanya hanya empat mata, tentunya jarak kami semakin hampir tetapi United kurang satu perlawanan. Bagaimanapun, jelas sekali dengan keputusan tidak diduga itu, tekanan kembali wujud dalam liga.

“Ia satu suntikan semangat. Tetapi jika kami ingin menjejaki mereka, kami perlu terus menang. Keadaan itu akan memberi tekanan sehingga penghujung musim, yang tentunya baik untuk semua pasukan.

“Dari dulu hingga sekarang, anda menerima kekalahan yang tidak diduga. Kadangkala anda tidak menduga ia akan berlaku di tempat sendiri dengan rekod cemerlang di tempat sendiri dan secara tiba-tiba ia berlaku. Bagaimanapun, mereka adalah pasukan berpengalaman.

“Mari kita lihat reaksi mereka dalam tempoh beberapa hari lagi. Ia bukan kali pertama ia berlaku tetapi pasukan besar selalunya bangkit.

“Semuanya bergantung kepada ketenangan mereka untuk meneruskan saingan. Apabila anda berada di depan dan ada yang mengekori rapat, anda sepatutnya menjadi lebih cemas,” katanya. -Agensi






No comments:

Post a Comment