Sunday, February 15, 2009

.:: Usah Henti Minum Susu ::.

KES susu tercemar bahan kimia melamin memang membimbangkan banyak pihak, terutama ibu bapa yang ada anak kecil, walaupun susu formula yang diberi kepada anak diimport dari negara lain.

Walaupun mengikut rekod, Malaysia mengimport susu bayi dari New Zealand, Australia dan Amerika Syarikat, ada laporan mengatakan susu bayi dari China dijual di Sabah dan Sarawak.

Memang kasihan membaca lebih 53,000 bayi dan kanak-kanak di China jatuh sakit selepas meminum susu tercemar melamin berkenaan.

Memasukkan melamin sebagai bahan yang dipercayai dapat menambah kandungan protein ke dalam susu formula adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana bahan itu biasanya digunakan dalam industri plastik, baja dan membuat pinggan mangkuk.




Malah, tindakan negara melarang kemasukan produk berasaskan susu dari China adalah langkah bijak untuk mengelak lebih ramai pengguna memakan atau minum produk yang berkemungkinan mengandungi bahan toksik itu yang ternyata boleh menjejaskan kesihatan; apatah lagi di kalangan kanak-kanak.


Yang membimbangkan ialah adanya laporan bahawa melamin juga didapati ada di dalam produk berasaskan susu lain seperti coklat dan biskut. Di sini letaknya kepentingan membaca label.

Walaupun kita mungkin tidak faham semua bahan yang tercatat pada label, sekurang-kurangnya kita tahu di mana produk yang ingin dibeli itu diimport atau dikilangkan.

Semua orang tahu susu adalah sumber kalsium terbaik untuk semua orang. Jika anda antara ibu yang memberi susu formula kepada bayi anda (berumur kurang enam bulan), ini masanya untuk memberi anak susu yang terbukti jauh lebih baik iaitu susu badan.

Ini sejajar dengan saranan pakar perubatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya bayi diberi susu badan secara eksklusif (100 peratus) sehingga enam bulan.

Selepas enam bulan, bolehlah jika mahu memberi anak susu formula (sebagai pilihan ketika anda bekerja) dan makanan lain.

Bayi lebih besar (melebihi enam bulan) dan kanak-kanak lain boleh diberi susu soya sebagai pengganti sementara sehingga isu ini selesai, kata Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia, Dr Tee E Siong.

Untuk sumber kalsium lain, ibu bapa boleh memberi anak makan ikan bilis atau ikan kecil lain yang dimakan bersama tulangnya, termasuk sardin.

Antara contoh makanan yang kaya kalsium ialah kuah laksa (terutama jika ikan direbus lama sehingga tulangnya boleh dikisar sekali).

“Selain itu sayur-sayuran berdaun hijau seperti sawi, kangkung dan bayam kaya dengan kalsium. Namun, masalah yang sering dihadapi kebanyakan ibu bapa ialah anak tidak mahu makan sayur. Ia disebabkan ramai ibu bapa tidak ajar dan galakkan anak makan sayur sejak kecil.

“Sebenarnya apabila anak memasuki umur enam dan tujuh bulan, ibu bapa boleh memasukkan sayur-sayuran ke dalam diet mereka. Caranya mudah dengan menghiris kecil-kecil sayur dan masukkan ke dalam bubur.

“Ini cara untuk memperkenalkan anak dengan ‘rasa’ sayur-sayuran. Seminggu, perkenalkan satu makanan baru kepada anak,” katanya.

Susu juga kaya dengan sumber protein. Bagi menggantikan susu protein, beri anak lebih banyak ikan kerana protein ikan lebih mudah dihadam dan diserap.

Protein ikan juga bukan saja dianggap dianggap protein berkualiti tinggi, tetapi secara tidak langsung ibu bapa boleh menjadikan sesi makan keluarga sebagai masa untuk mendidik anak mengenai pemakanan.

Pada masa sama, sebagai ganti sementara, anda boleh memberi anak minum susu soya atau makanan berasaskan soya. Susu kacang soya bukan saja enak dan mudah disediakan, ia juga sesuai untuk semua golongan, termasuk bayi berumur enam bulan ke atas.

“Meskipun susu adalah makanan paling lengkap untuk bayi, tetapi apabila bayi berumur enam bulan keperluan badannya bertambah, dan memberi susu semata-mata walaupun susu badan tidak dapat memberi semua khasiat untuknya membesar.

“Jadi apabila anak berumur enam bulan ke atas, mula perkenalkan makanan lembut kepadanya. Inilah pentingnya ilmu pemakanan kerana ketika ini ibu bapa boleh mencorakkan tabiat makan anak.

“Untuk kanak-kanak lebih besar, mungkin tidak menghadapi banyak masalah kerana mereka boleh makan makanan seperti orang dewasa,” katanya.

Bagaimanapun, janganlah isu susu tercemar dijadikan alasan sesetengah ibu bapa untuk menghentikan pemberian susu kepada anak.

Tanggapan kanak-kanak yang sudah besar perlu berhenti minum susu adalah salah. Mereka perlu berhenti menyusu menggunakan botol susu, sebaliknya minum susu menggunakan cawan.

Susu adalah minuman yang memberi manfaat kepada semua orang tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga tua; apatah lagi kanak-kanak perempuan dan wanita.

Pengambilan susu (sumber kalsium) secara tetap sejak kecil terbukti dapat menguatkan tulang dan mengurangkan risiko mengalami masalah osteoporosis apabila tua.



....heE..x suka minum susu.nak muntah nnt...

No comments:

Post a Comment