Saturday, February 07, 2009

.:: Fahamilah Diri ::.

Setiap manusia mempunyai sifat berbeza-beza dan tahap pemikiran yang tidak sama anatara satu sama lain. Untuk memahaminya kita memerlukan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan psikologi manusia.

Hal ini adalah penting kerana ia berupaya memberi kefahaman tentang manusia, sifat - sifat tabi'i, tingkah laku serta jiwanya yang berbeza-beza antara satu sama lain. Memahaminya secara am adalah penting terutamanya kepada para dai'i yang berperanan untuk mengajak dan mempengaruhi manusia kearah kebaikkan dan menghindari kejahatan.

Psikologi merupakan gabungan dua perkataan Greek iaitu Psycke (psiko) yang membawa maksud jiwa, rohani atau mental dan Logos (logi) bermaksud kajian. Sebagai satu perkataan ia bermaksud kajian jiwa, mental atau rohani manusia. Oleh kearana kerohanian dan jiwa di luar dari pencapaian sains, psikologi selalunya merujuk kepada kajian tentang tingkah laku (Shaver and Tarpy, 1993: 3). Psikologi pada hari ini ditakrifkan sebagai sains yang mengkaji tingkah laku dan proses mental. Dengan itu, psikologi boleh didefinisikan sebagai satu kajian yang saintifik tentang jiwa dan tingkah laku manusia untuk memahami tingkah laku mausia bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di kalangan manusia.


PSIKOLOGI KANAK-KANAK
Manusia dilahirkan dalam keadaan lemah yang memerlukan pertolongan untuk hidup. Walau dalam keadaan demikian, ia telah memiliki kemampuan bawaan yang bersifat 'laten' yang memerlukan pengembangan melalui bimbingan dan pemeliharaan yang mantap, lebih-lebih lagi pada usia kanak-kanak. Berikut adalah perkembangan yang berlaku pada kanak-kanak;

PERKEMBANGAN KOGNITIF KANAK-KANAK
Menurut Jean Piaget (1869-1980) iaitu seorang pakar biologi Switzerland dan pakar Psikologi, pemikiran kanak-kanak berkembang dalam satu siri tahap yang komplaks dan setiap satunya berkait rapat antara satu sama lain. Tahap perkembangan kognitif Piaget ada empat iaitu.
• Tahap sensori motor (0-2 tahun)
• Tahap preoperasi (2-7 tahun)
• Tahap operasi konkrit (7-11 tahun)
• Tahap operasi formal (11 tahun ke atas)

1. Tahap Sensori Motor
Menurut Piaget, pada tahap ini pemahaman bayi tentang dunia ini berasaskan pada gerakan spontan yang tidak dipelajari seperti menghisap, memegang dan melihat. Dalam erti kata lain, apa yang dilihat mesti dipegangnya sebagai objek, kerana inilah cara bayi mempelajari serta mengenali alam sekitar. Pieget menekankan pada tahap ini, bayi harus dapat melihat objek untuk mengetahui akan kewujudanya.

2. Tahap Preoperasi
Pada tahap ini kanak-kanak mula boleh menggunakan skima yang berasaskan penggunaan bahasa dan bentuk-bentuk perwakilan simbolik yang lain serta dapat menyelesaikan masalah-masalah yang mudah. Bayi sudah mula menggunakan simbol, objek atau perkataan untuk mewakilkan sesuatu benda atau peristiwa. Oleh itu, bagi memahami persekitarannya, mereka sering bertanya dan menggunakan soalan- soalan yang tidak logik.

3. Tahap Operasi Konkrit
Tahap ini dikenali konkrit kerana kanak-kanak hanya boleh melakukan operasi-operasi pada imej dan objek-objek yang nyata sahaja dan bukan perkara-perkara abstrak seperti konsep ketuhanan, keadilan dan sebagainya. Mereka hanya boleh memahami konsep-konsep yang konkrit atau yang objektif seperti binatang, tumbuh-tumbuhan,kekotoran dan sopan santun. Dengan itu, Inhelder dan Piaget (1958) menegaskan yang kanak-kanak di tahap ini boleh melaksanakan setengah-setengah operasi ke atas objek lain tetapi tidak boleh beroperasi ke atas operasi atau proses fikiran sendiri.

4. Tahap Operasi Formal
Tahap ini berlaku dari tahap remaja ke atas. Individu yang berada pada tahap ini berupaya menggunakan serta memahami logik dan konsep-konsep abstrak.


PERKEMBANGAN PERSONALITI KANAK-KANAK
Dalam perkembangan personaliti kanak-kanak teori yang sering dikaitkan denganya ialah teori psikoseksual Freud iatu teori yang menghubung kaitkan perkembangan personaliti kanak-kanak dengan perkembangan seksnya. Asas pada teori ini ialah satu konsep psikodinamik yang dikenali sebagai libido,iaitu tenaga seks yang ada pada setiap manusia semasa dilahirkan. Teori ini menyatakan lima peringkat perkembangan iaitu :

1.Tahap Oral
· Perokok
Individu yang terlibat dengan gejala merokok kebanyakannya berpunca daripada lekatan pada tahap ini. Di mana individu ini tidak dipuaskan keinginannya seperti lambat diberi makanan.

2. Tahap Anal
· Tingkah laku Agresif/ Kes Jenayah
Kes-kes jenayah yang berlaku pada individu adalah berpunca
daripada faktor dalaman daripada pembawaan pada zaman
kanak-kanak sehinggalah ke tahap dewasa.
· Kebanyakkan permasalahan yang wujud di dalam diri individu
itu berpunca daripada ibu bapa mereka yang kurang memberi perhatian terhadap cara pembuangan najis kepada anak-anak mereka. Ini akan mengembangkan sikap panas baran, agresif dan suka melepaskan perasaan sehinggalah usia dewasa dengan melakukan pelbagai jenayah.

3. Tahap Kubul
· Sumbang Mahram
Pada tahap inilah terjadinya Kompleks Oedipus dan Elektra, pada zaman kanak-kanak mereka pada mulanya hanya mempunyai perasaan berahi kepada ibu atau bapa namun mereka terpaksa beridentifikasi dengan ibu atau bapanya. Perasaan ini dipendamkan dan di bawa ke tahap dewasa akan mengakibatkan berlakunya hubungan abnormal ini.

4. Tahap Pendaman
· Hubungan Sosial
Pada peringkat awal semasa zaman kanak-kanak tingkah laku untuk bersosial sudah mula berkembang sedikit demi sedikit bermula dari alam persekolahan lagi. Dan apabila meningkat usia remaja mereka sudah pandai berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling, melalui interaksi sosial ini boleh memberi impak yang negatif atau positif pada individu tersebut.


5. Tahap Genital
· Pembinaan Kerjaya yang Mantap dan Pembinaan Institusi Kekeluargaan.
Dimana apabila mengecapi tahap kematangan, maka individu akan mengejar matlamat hidup mereka bagi memperolehi kehidupan yang lebih bahagia dan berjaya serta stabil. Dimana mereka akan membina suatu pekerjaan yang tetap dan mencari pasangan hidup bagi membentuk keluargaPeringkat mulut


PERKEMBANGAN SOSIAL KANAK-KANAK
Kanak-kanak tidak boleh wujud bersendirian. Mereka memerlukan manusia untuk mengajar dan membimbing mereka kerana dengan cara inilah mereka dapat mempelajari, mengetahui, mengenali, dan memahami alam semesta ini. Dalam perkembangan sosial, faktor-faktor seperti perkembangan moral dan personaliti adalah penting. Disamping itu, faktor peratapan (attachment) dan identifikasi adalah penting.

1. Peratapan
Peratapan boleh didefinisikan sebagai kemahuan bayi mendekati individu yang signifikan seperti ibu bapa dan penjaga sewaktu dia memerlukan makanan atau keselesaan. Peratapan juga membawa erti bahawa kanak-kanak berkehendakkan supaya dijaga dan disayangi oleh sesetengah individu. Proses peratapan berlaku apabila ibu bapa dan anak berintraksi dan akan berlaku untuk jangka waktu yang panjang.

2. Identifikasi
Dalam lingkungan umur 2 hingga 6 tahun, kanak-kanak mengkonsepkan dirinya sebagai satu bentuk objek. Perkara ini bergantung kepada dua faktor, iaitu satu asas instinsik yang mengandungi kualiti-kualiti sifat kekal. Kedua, maksud sesuatu yang intrinsic ini tidak lagi diperolehi daripada perbandingan yang dilakukan dengan intiti lain. (Kagan, 1984, hlmn 136) kualiti sifat kekal ialah kesedaran tentang perasaan, tujuan dan sifat-ifat kepunyaan seperti bangsa, agama, keadaan fizikal, jentina dan umur.


PERKEMBANGAN AGAMA PADA KANAK-KANAK
Menurut penelitian Ernest Harms perkembangan agama kanak-kanak melalui beberapa fasa (tingkatan). Dalam bukunya The development of Religion on Children, ia mengatakan bahawa perkembangan agama pada kanak-kanak itu melalui tiga fasa iaitu

1. The Fairy Tale Stage (Tingkat Dongen)

Tingkat ini dimulai pada anak yang berusia 3-6 tahun. Pada peringkat ini konsep mengenai tujuan lebih banyak dipengaruhi oleh fantasi dan emosi. Pada tingkat perkembangan ini kanak-kanak menghayati konsep ketuhanan sesuai dengan tingkap perkembangan intelektualnya yang dipengaruhi kehidupan fantasi yang meliputi dongen-dongen yang kurang masuk akal.

2. The Realistic Stage (Tingkat Kenyataan)

Tingkat ini dimulai sejak kanak-kanak masuk pra sekolah hingga ke usia remaja. Pada masa ini idea ketuhanan sudah mencerminkan konsep-konsep yang berdasarkan kenyataan. Konsep ini timbul melalu lembaga-lembaga keagamaan dan pengajaran agama dari orang dewasa lain. Pada masa ini idea keagamaan kanak-kanak didasarkan atas dorongan emosional, hingga mereka dapat melahirkan konsep Tuhan yang formalis. Berdasarkan hal itu, maka pada masa ini kanak-kanak tertarik dan senang pada lembaga keagamaan yang mereka lihat. Segala amalan keagamaan mereka ikuti dan pelajari dengan penuh minat.

3. The individual Stage (Tingkat induvidu)

Pada peringkat ini kanak-kanak telah memiliki kepekaan emosi yang paling tinggi sesuai dengan perkembangan usia mereka. Konsep kegamaan yang individualistik ini terbahagi kepada tiga iaitu :

a. Konsep ketuhan yang konvensional dan konservatif dengan di pengaruhi sebahagian kecil fantasi yang disebabkan oleh pengaruh luar.

b. Konsep ketuhanan yang lebih murni yang dinyatakan dalam pandangan yang bersifat personal.

c. Konsep ketuhanan yang bersifat humanistic. Agam telah menjadi etos humanis pada diri mereka dalam menghayati ajaran agama. Peubahan ini setiap tingkatan dipengaruhi oleh factor perkembangan usia dan pengaruh luar.


PSIKOLOGI REMAJA
Zaman remaja ialah satu masa peralihan sementara daripada zaman kanak-kanak kepada zaman dewasa. Ia boleh didefinisikan sebagai zaman yang bermula apabila baligh sehingga permulaan zaman dewasa. Masa remaja merupakan peringkat yang amat komplaks kerana pada masa ini berlaku perubahan pada fizikal, emosi, kognitif, penghargaan kendiri, krisis identiti, konflik dan keraguan memulakan perkara baru. Mereka akan berasa gembira apabila diri mereka diterima, dihargai, dan diberikan perhatian oleh orang yang signifikan dalam hidup mereka, termasuk ibu bapa, guru, rakan sebaya atau sesiapa sahaja yang berkenaan.

Hall (1916) menjelaskan bahawa remaja adalah suatu jangka masa atau waktu yang penuh dengn konflik dan masalah. Ini diperolehi daripada kajian terhadap bidang baru yang agak saintifik, iaitu psikologi remaja. Bagi menerangkan pendapat Hall ini, Mindess dan Munford (1980) menerangkan bahawa disebabkan remaja merupakan tempoh transisi daripada masa kanak-kanak kepada dewasa, disebabkan perubahan psikologikal yang pesat berlaku semasa akil baligh, dan disebabkan peningkatan dorongan seksual menimbulkan suatu ketegangan dan rendah diri di dalam masyarakat kita, tahun-tahun ke-12 dan ke-13 digambarkan sebagai tempoh yang penuh konflik.

Penerangan ini menyokong tanggapan Hall, yang sehingga kini masih digunakan oleh para pengkaji psikologi remaja. Hall juga menyatakan, iaitu alam remaja diakhiri dalam lingkungan usia 22 hingga 25 tahun. Mengikutnya, permulaan remaja dimulai dengan perubahan fisiologi, manakala alam remaja diakhiri dengan perubahan psikososial.


PERKEMBANGAN FIZIKAL REMAJA
Remaja menjadi sangat sedar-kendiri (self conscious) tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam badannya semasa baligh. Remaja begitu prihatin dengan bentuk badannya, imej dan penampilan (Newell et al., 1990). Mereka perlu faham corak pertumbuhan badan dan menerima keadaan fizikal mereka, menjaga kesihatan, gunakan tubuh badan secara berkesan dalam bidang sukan, reakreasi, kerja dan tugas-tugas seharian.

Pengetahuan tentang perkembangan fizikal remaja adalah penting dalam memahami tentang sesetengah remaja yang lambat atau tercepat dalam perkenbangan mereka dan apakah kesan-kesannya.

1. Remaja lelaki yang cepat matang

Biasanya mereka ini lebih berbadan besar, lebih berotot dan lebih berminat dengan aktiviti – aktiviti sukan dan lebih bernasib baik dalam hal-hal sosial. Mereka juga lebih dipilih menjadi pemimpin dan lebih popular dikalangan pelajar perempuan (Peterson, 1985).

2. Remaja Perempuan yang Cepat Matang

Biasanya mereka lebih tinggi dan lebih cepat perkembangan fizikalnya dan ini menyebabkan mereka rasa sedar-kendiri (self conscious) dan janggal. Namun demikian, apabila mereka memasuki sekolah menengah, mereka nampak lebih matang dan sering dicemburui oleh rakan-rakan perempuan yang lain. Apabila mencapai usia 17 tshun, mereka jua memperolehi skor yang lebih tinggi dari segi penyesuian peribadi dan keluarga, lebih mepunyai konsep kendiri yang positif dengan orang lain (Hamachek, 1976).

3. Remaja lelaki yang lambat matang

Mereka resing menerima kebukrukan sosial (social dissdvantages) dan ini akan memperkembangkan perasaan rendah diri (Apter et al., 1981). Semasa berumur 15 tahun, mereka mungkin 8 inci lebih pendek dan 30 paun lebih ringan berbanding remaja lelaki yang cepat matang. Saiz fizikal (besar kecilnya tubuh badan) dan koordinasi motor perperanan penting dalam menentukan penerimaan sosial, lantaran itu remaja lelaki yang lambat matang mungkin memperkembangkan persepsi kendiri yang negative. Walau bbagaimanapun remaja lelaki yang lambat matang mengalami jangka masa pra remaja yang lebih lama yang ternyata memberi mereka lebih masa untuk bersedia secara psikologi untuk menepuh akil baligh (Peskin, 1967: Livson dan Peskin , 1980). Apabila mereka mencapai akil baligh, kemungkinan untuk mereka memperolehi lebih kemahiran daya tindakan adalah lebih tinggi.

4. Remaja perepuan yang lambat matang

Remaja perempuan yang lambat matang selalunya kurang upaya dari segi sosial (Apter et al., 1981). Mereka kelihatan dan juga dilayan seperti "budak kecil " dan wujud kehilangan status sosial. Walaubagaimanapun, satu kebaikan bagi golongan ini adalah mereka tidak dikritik oleh orang dewasa dan ibu bapa mereka dari segi tinggah laku.


PERKEMBANGAN KOGNITIF REMAJA
Apabila induvidu memasuki lingkungan umur belasan tahun, piaget menyatakan yang perkembangan kognitif manusia masuk ketahap akhir, iaitu tahap operasi formal iaitu berupaya berfikir dengan lojik serta memahami konsep-konsep yang abstrak. Pada tahap ini juga kebolehan kognitif mereka adalah melebihi tahap pemikiran perkara-perkara konkrit. Mereka boleh memahami dan sudah tertarik pada masalah agama kebudayaan, sosial, ekonomi, dan normal-normal kehidupan lain.


PERKEMBANGAN EMOSI REMAJA
Secara umunya, apabila seseorang memasuki usia remaja iaitu bermula dari 11 tahun mereka akan mengalami perkembangan dan perubahan emosi. Keadaan ini disebabkan oleh beberapa perkara antaranya :
a) Hormon : Perubahan hormone pada zaman remaja secara lansungnya mempengaruhi emosi remaja.
b) Kebimbangan pada perubahan fizikal : perubahana fizikal yang nyata pada zaman remaja. Contohnya pada saiz dan bentuk badan.
c) Tabiat pemakanan : tabiaat pemakanan yang tidak seimbang sentiasa digemari oleh remaja yang inginkan tubuhnya sentiasa slim. Hal ini seterusnya menyebabkan ketidak seimbangan emosi remaja akibat kekurangan zat makanan yang berkhasiat.
d) Kekurangan masa rehat : pembelajaran dan kehidupan tertekan remaja menyebabkan waktu rehat remaja tidak tetap pempengaruhi emosi remaja.

Biasanya, pada peringkat ini remaja juga akan mengalami emosi yang normal bagi mereka. Baik remaja lelaki mahupun perempuan, pencapaian pembelajaran kebanyakan remaja menurun tetapi mereka lebih menumpukan reaksi pada dorongan emosinya. Mereka mudah sahaja bertindak mengikut emosinya yang kadang-kadang jauh menyempang daripada rasional. Oleh sebab itu remaja menjadi begitu sensetif dan perasa. Langsung tidaj boleh terusik hatinya, dan mereka akan mudah berkecil hati, merajuk dan benci kepada seseorang jika mereka terusik.

Remaja selalu sahaja didedahkan atau ditonjolkan pada sesuatu peristiwa dan tindakan yang akibatnya cuma terlalu kecil yang boleh menyebabkan pendedahan yang agak besar. Mereka lebih senang hati, apabila mereka diterima dan dihormati. Mereka pula rasa tertekan apabila mereka tidak menyangka sesuatu itu terjadi malah tidak dapat mengawal dirinya apabila marah. Sebaliknya mereka senang terhadap nilai-nilai yang remaja lain suka. Mereka kan meminati dan menyukainya .


PERKEMBANGAN SOSIAL REMAJA
Perubahan besar yang dihadapi oleh kaum remaja ialah perkembangan sosial iaitu mereka cenderung untuk berpisah daripada struktur kekeluargaan kerana menganggap kawan-kawan sebayanya adalah lebih penting hinggakan mereka sanggup tidak pulang ke kampung untuk bercuti dan sanggup tinggal bersama kawan di asrama kerana merasakan perkara itu lebih menyeronokkan. Kawan-kawanlah tempat seseong remaja itu berkongsi pandangan, cerita-cerita, bertukar-tukar fikiran serta pendapat. Kawan-kawan dapat memberi sesuatu yang bebas daripada segala bentuk larangan atau sekatan. Ini yang digemari oleh remaja, iaitu bebas dan berkuasa untuk menentukan cara hidup sendiri. Mereka juga lebih cenderung kearah percintaan.

Peralihan pergantungan, bagi percapaian dan perkembangan ini tidak dapat dielakan. Mengikut Erikson (1963) setiap individu mengalami proses kehidupan dan pada masa yang sama remaja mengalami krisis kehidupan. Krisis ini bagi Erikson ialah "masa perkembangan identiti iaitu remaja sedang memilih beberapa pilihan yang bermakna". Ini bermakna remaja perlu memilih apakah bentuk identiti yang sesuai dengan dirinya supaya dapat mengurangkan krisis kehidupan yang tidak dapat dielakkan. Kesesuaian pemilihan identity ini bergantung kepada konsep kendiri (self-Concept) dan esktim kendiri (Self-Esteem) remaja itu sendiri.


PSIKOLOGI DEWASA
Para psikologis seperti Knowles (1986), mendefinisikan dewasa dengan tidak melihat umur tetapi melalui kebolehan seseorang itu hidup berkeluarga dan bertanggungjawab menanggung kehendak-kehendak asas keluarganya. Dalam erti kata lain dewasa harus mempunyai kebolehan mencintai dan bekerja.

Perkembangan dewasa bukanlah perkembangan satu tahap sahaja, malah ia seperti perkembangan kanak-kanak juga. Tahap dewasa awal, pertengahan, lanjut dan kemudiannya zaman tua semuanya terikat dan bersinambungan di antara satu dengan yang lain. Adalah agak rumit jika tahap-tahap dewasa ini dilihat sebagai sesuatu yang diskret kerana ia sukar hendak dibezakan di antara satu tahap dengan tahap yang lain. Contohnya dewasa awal merupakan satu tahap yang dianggap kritikal selepas alam remaja. Ia dianggap kritikal adalah disebabkan pada waktu ini manusia berada pada tahap awal pembentukan kerjaya dan keluarga. Pada peringkat ini, seseorang perlu membuat pilihan yang tepat demi menjamin masa depannya terhadap kerjaya dan keluarga. Pada waktu ini juga seseorang akan menghadapi dilemma antara kerjaya dan keluarga. Pelbagai masalah mula timbul terutamanya dalam perkembangan kerjaya dan juga hubungan dalam keluarga. Menurut Teori Erikson, Tahap Dewasa Awal iaitu mereka di dalam lingkungan umur 20 an ke 30 an. Pada tahap ini manusia mula menerima dan memikul tanggungjawab yang lebih berat. Pada tahap ini juga hubungan intim mula berlaku dan berkembang.


PERKEMBANGAN SOSIAL- INTIMASI DAN PENCILAN DIRI
Satu daripada teori yang sering dikaitkan dengan perkembangan dewasa ialah teori psikososial Erikson (1963). Selepas melalui tahap remaja, manusia memasuki tahap enam, iaitu zaman dewasa. Di anatara umur 18 hingga 40 tahun, semua dewasa mengalami konflik di antara intimasi dan pemencilan diri. Pada masa ini induvidu mencari pasangan hidup mereka dan memulakan satu perhubungan peribadi yang penuh makna. Mengikut pandapat erikson, bagi remaja yang telah memperolehi identitinya, mereka pula ingin berkongsi identitinya dengan seorang manusia lain, iatu pasangan hidup. Di sinilah bermulanya hubungan intimasi antara dua dewasa muda yang ingin mencuba identiti-identiti mereka. Walau bagaimanapun, Erikson mengatakan bahawa manusia tidak dapat berkongsi hidup sebelum mengenali peranan hidupnya. Bagi mereka yang terlalu awal berkahwin, mereka sering tidak akan berupaya mengekalkan hubungan intimasi dan mereka sering terdedah kepada bahaya pemencilan diri dan bersendirian. Jika hubungan instimasi tidak dapat dicapai, seseorang itu akan memencilkan dirinya sendiri dan oleh itu tidaki dapat mencapai apa-apa perhubungan bermakna.


KRISIS IDENTITI
Pada masa permulaan dewasa, mereka sering mengalami sesuatu yang dikenali sebagai krisis identiti. Krisis ini berlainan dengan konflik mencari identiti para remaja yang disarankan oleh Erikson iaitu keinginan seseorang menentukan siapa dan bagaimana dia pada saat sekarang ini dan siapa atau apakah yang dia inginkan pada masa mendatang. Lazimnya dewasa-dewasa muda akan meniru cara kehidupan ibu bapa mereka dan mengasaskan kehidupan yang baru. Ini sering dilakukan dengan cara mencari pasangan pasangan dan hidup bebas daripada keluarga asal mereka. Seterusnya para dewasa akan mendapatkan pekerjaan untuk mengejar cita-cita yang menjadi idaman mereka. Di dalam lingkungan umur 28-32 tahun, para dewasa sering menyoal kembali tentang kehidupan, pekerjaan dan keluarga mereka.


KRISIS PERTENGAHAN UMUR
Pada umur di antara 35 hingga 45 tahun, ramai dewasa akan mengalami krisis pertengahan umur. Ini ialah akibat daripada kesedaran yang diperolehi secara mendadak bahawa mereka telah melalui setengah daripada umur kehidupan mereka. Seringkali kesedaran ini berpasangan dengan persoalan-persoalan seperti " Apakah yang telah aku lakukan yang telah memberi makna pada hidupku ini?". Pada peringkat inilah ramai dewasa akan sedar yang selama kehidupan ini, mereka belum lagi mencapai sesuatu yang bermakna dalam hidup, belum mula beribadat lagi atau belum memperolehi apa-apa yang boleh dikatakan kepunyaan dirinya sendiri. Keadaan ini menggambarkan bahawa di usia dewasa orang sudah memiliki tanggungjawab serta menyedari makna hidup.


KONFLIK KEBOLEHAN MENGHASILKAN SESUATU DAN KEKECEWAAN
Bagi dewasa yang berada di antara umur 40 hingga 65 tahun, mereka akan memasuki tahap konflik sosial ketujuh yang disarankan oleh Erikson. Di tahap ini, seseorang dewasa akan mengalami konflik di antara kebolehan menghasilkan sesuatu dan kekecewaan. Pada masa ini, individu dewasa akan menjadi aktif dalam menolong orang lain serta memikirkan tentang hal-hal yang boleh memberi manfaat pada generasi akan datang. Mereka mulai berfikir tentang tanggungjawab sosial, ekonomi dan keagamaan. Lazimnya orang dewasa akan memperolehi makna daripada pekerjaan, keluarga, dan kebahagian pada tahap ini. mereka akan bersikap positif terhadap hidup dan sering bangga dengan kejayaan yang telah diperolehinya. Mereka sering menyumbangkan tenaga dalam hal-hal seperti menolong generasi-generasi muda supaya mereka boleh menjadi manusia yang produktif. Mereka ingin membuat dunia ini satu tempat yang lebih baik untuk didiami oleh semua manusia. Sebaliknya, jika ini tidak dapat dicapai, seseorang dewasa itu akan sering menumpukan perasaan terhadap dirinya sendiri dan selalu mengalami konflik ini akan menarik diri daripada situasi pergaulan sosial dan akan duduk bersendirian.


KESIMPULAN
Semua manusia ini berkembang melalui tiga tahap umum iaitu kanak-kanak, remaja dan dewasa. Perkembangan ini adalah berbeza di antara satu sama lain dan sukar ia sukar hendak dipastikan kerana tiap-tiap manusia berkembang dengan cara dan dalam keadaan yang amat unik. Memahami tentang psikologi ke tiga-tiga peringkat usia ini adalah sangat penting dalam memahami manusia kerana pembentukan tingkah laku manusia adalah permula daripada kanak-kanak. Kerana pada usia itulah mereka mula mempelajari sesuatu yang baru dalam kehidupan mereka. Justeru, adalah sangat penting bagi ibu bapa dan orang dewasa untuk mencorak dan mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak kearah kebaikkan yang tidak menyimpang daripada agama Islam.


RUJUKAN
Ab. Aziz bin Mohd. Zin (1999), Psikologi Dakwah . Kuala Lumpur : Jabatan Kemajuan Jakim.

H. Jalaluddin (2005), Psikologi Agama.Jakarta : PT RajaGrafindo Persada.

Hairunnaja Najmuddin (2003), Memahami dan Bimbingan Remaja Nakal. Pahang : PTS publication & Distributors Sdn. Bhd.

Muhd. Mansur Abdullah, Siti Nordinar Mohd. Tamin (1988). Psikologi Remaja. Selangor : Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.

http:// hmidps. 8m. com/mimbar 1 a.htm.

http://bahaden.tripod.com/

Jas Laile Suzana Jaafar (2002), Psikologi Kanak-kanak & Remaja. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahmood Nazar Mohamed (1992), Pengantar Psikologi. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd. Mansur Abdullah, Siti Nordinar Mohd. Tamin (1988). Psikologi Remaja. Selangor : Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.

Nor Raudah haji. Siren, Mohamad Zaidi Abdul Rahman (2006), Strategi Pengurusan Masjid. Kuala Lumpur : Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan dan Azha Hamzah Trading (M) Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment