Friday, June 05, 2009

.:: Ummi, Jangan Jadi Donkey ::.

“ La, cerita ni lagi. Kita pasang cerita lain la ye. Hari-hari tengok cerita ni je,” keluh saya bila anak ketiga meminta dipasangkan cerita kegemarannya.

“ Tak nak. Khalil nak tengok cerita ni,” balas si bujang saya. Susah benar dia mahu berkompromi bila berbicara tentang cerita yang satu ini.

“ Ok, lah. Tapi Ummi tak mahu Khalil jerit-jerit ye. Tengok je,” saya mengalah sambil berlalu ke dapur untuk memasak hidangan tengahari. Sambil memasak, mata dan telinga, saya arah ke ruang tamu bersebelahan. Kedudukan sinki dapur yang terletak hampir dengan pintu yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu memudahkan saya memantau cerita, iklan atau apa sahaja program yang sedang ditonton oleh anak-anak saya. Tambahan pula peti televisyen memang saya dan suami susunatur betul-betul berhadapan dengan pintu dapur.

Sebetulnya, anak-anak saya sangat gemar menonton filem animasi terbitan Dreamworks Studio ini. Lebih-lebih lagi anak ketiga saya yang boleh dikatakan hampir setiap hari pasti meminta agar dipasangkan dvd kegemarannya itu. Dari siri satu hingga yang ketiga semuanya telah habis ditonton, bukan sekali tetapi berkali-kali.

Ada beberapa sebab mengapa mereka gemarkan filem animasi yang satu ini. Pertama, penggunaan Bahasa inggeris yang mudah terutama bagi mereka yang ingin belajar bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Lontaran dialog setiap wataknya terang dan sangat jelas.

Keduanya, mesej yang dibawa berkisar kepada nilai-nilai kekeluargaan dan kepercayaan kepada diri sendiri. Dan ketiga, sudah pasti kerana nilai moral ( bukan akhlak ) dan tata tertib yang masih dijaga rapi. Mungkin kerana sasaran umumnya adalah golongan kanak-kanak.
Cuma….

BISING SANGAT


Saya cukup tidak suka mendengar salah satu wataknya bersuara. Bising. Riuh. Bagai mendengar air hujan yang sedang lebat turun menimpa atap zink di kampung rasanya. Bingit, sungguh tidak selesa. Akan tetapi, saya tidak menafikan ada sifat-sifat mulia padanya yang sangat saya impikan agar ia ada pada diri saya sendiri dan orang lain sebagai seorang kawan dan sahabat sejati.

“Ish..bising betul keldai ni..banyak mulut sungguh," kerap kali saya mengkritik begitu ketika menonton filem animasi Shrek. Anak-anak yang menonton sama, pasti akan ketawa kecil bila mendengar nada meluat saya terhadap riuh rendah suara si Donkey.

“ Kenapa Ummi tak suka?” tanya Kak Ngah ingin tahu.

“ Sebab dia selalu bercakap menjerit-jerit..” jawab saya.

“ Kak Ngah selalu cakap kuat Ummi," Kak Long mencelah. Kak Ngah hanya menjuih mulut tanda tidak suka diungkit tentang suara kuatnya itu.

“ Kak Long dan Kak Ngah tak boleh cakap macam tu. Orang dengar rasa tak selesa," saya menambah memberi nasihat sepatah dua kepada mereka. Memang adakalanya anak-anak perempuan saya ini bila berbual sesama mereka di dalam bilik, saya boleh mendengar dengan jelas setiap patah perbualan mereka. Kuat dan nyaring.

“ Sebab itu Allah ada sebut dalam al Quran, seburuk-buruk suara ialah suara keldai, sama macam Donkey kawan Shrek tu. Shrek pun selalu kata “You are an annoying, talking donkey" ,kan?” tegas saya mengingatkan.

NASIHAT LUQMANUL HAKIM

Akhlak adalah soal yang sangat perlu dititikberatkan dalam didikan ibu dan bapa kepada anak-anak. Antara yang perlu disenaraikan ialah bagaimana cara komunikasi yang baik antara mereka dan orang–orang di sekeliling. Tiada siapa yang suka dirinya dijerit-jerit. Hati mana yang tidak perit bila dihambur dengan nada suara yang kuat sedangkan dia masih boleh mendengar dengan baik dan bukannya tuli.

Kisah Luqmanul Hakim telah disebut di dalam al Quran bila mana beliau menasihati anaknya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai."
( Surah Luqman ayat 19)

Kerana itu juga, para anbiya’ diperintahkan Allah agar berlemah lembut dalam dakwah mereka sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”. ( Surah Ali Imran ayat 159)

Demikian juga saranan Allah SWT kepada Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s ketika berdepan dengan kezaliman Fir'aun.

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." ( Surah Taha ayat 44 )

JANGAN AH! OH!

“ Kimi, tolong mak angkatkan kain di ampaian luar ye. Nampaknya hari nak hujan," kata seorang ibu kepada anaknya yang sedang asyik mengadap PS2.

“ Ah! Mak ni. Tak Nampak orang tengah sengit ‘berperang’ ni,” bantah si anak tanpa sedikit pun menoleh memandang wajah ibu.

Hati ibu mana yang tidak sedih bila mendengar anak menjawab dengan perkataan ah! Oh! dan seumpamanya. Jiwa ibu mana yang tidak pedih melihat anak yang diasuh dan dibelai sedari kecil bersikap acuh tak acuh dan kurang ajar kepada dirinya. Semua ini berkait adab dan nilai budi yang diajar di dalam Islam betapa sependek perkataaan ah! dan oh! saja sudah cukup menjatuhkan seorang anak kepada lembah kedurhakaan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
( Surah Al-Isra' ayat 23-24 )

Islam mengajar umatnya berbudi bahasa terhadap orang lain terutama kepada kedua orang tuanya yang telah banyak berjasa mengasuh, membesar dan mendidik anak-anak. Sikap suka meninggikan suara, mengherdik dan mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati mereka adalah amat dilarang oleh agama dan disenaraikan sebagai perbuatan yang membawa kepada dosa besar. Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud :

“Sebesar-besar dosa (dosa besar) ialah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Perlu diingat bahawa dosa menderhakai ibu dan bapa akan dibalas oleh Allah di dunia lagi dengan azab yang pedih dan menyeksakan.

“Semua dosa ditangguhkan oleh Allah (seksaannya) mana-mana yang dikehendaki-Nya sehingga ke hari kiamat, melainkan dosa kerana menderhaka kepada dua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan segerakan seksaan dan azab ke atas pelakunya ketika hidupnya, sebelum mati.” (Hadis riwayat Thabarani dan Hakim)

BERMULA DARI IBU BAPA

Namun demikian, sebagai ibu dan bapa yang diamanahkan oleh Allah dengan anugerah cahaya mata, mereka perlu lebih dulu menginsafi bahawa watak serta sifat yang ditonjolkan oleh anak-anak adalah diwarisi dari kedua orang tua. Walaupun mungkin tidak semua, sedikit sebanyak tetap ada. Jangan sesekali ibu dan bapa lupa bahawa anak-anak juga mempunyai sepasang mata dan telinga untuk mereka boleh melihat dan mendengar apa sahaja yang dilakukan dan diperkatakan oleh ibu bapa.

Sewajarnya, pasangan ibu bapa yang juga suami dan isteri harus membina hubungan baik antara mereka. Suami menghormati isteri dengan berkata yang baik, tidak meninggikan suara dan menegur kesilapan isteri dengan nada lemah lembut dan penuh kasih mesra. Begitu juga kepada isteri. Jangan pernah meninggikan suara kepada suami di depan anak-anak. Ini termasuk juga kata-kata berbaur penghinaan yang mungkin tidak disengajakan tetapi memberi titik hitam kepada jiwa putih suci anak-anak.

“ Ayah kamu tu, taunya tidur je. Bukannya nak bantu ibu di dapur,” luah sinis seorang isteri kepada anaknya yang berumur lima tahun.

“ Alah emak kamu tu, masak asam pedas ikan parinya bukan sedap mana pun,” kata pula seorang suami kepada anak perempuannya yang masih bermain anak-anak patung.

Ibu dan bapa harus lebih dulu berusaha keras membina imej ibubapa yang baik dari kacamata anak-anak. Ibu bapa adalah pendidik anak-anak yang sebenar, sebelum mereka melihat dunia luar. Ibu bapa adalah contoh tauladan dalam apa jua perkara yang mereka lakukan sebelum mereka dewasa dan boleh membuat keputusan. Jangan pula ibu bapa menjadi seumpama ketam mengajar anaknya berjalan betul, tetapi dia sendiri berjalan senget mengereng ke tepi.


UMMI, JANGAN JADI DONKEY

“ Ya Allah, dah lambat ni,” tiba-tiba saya terjaga dari tidur-tidur ayam selepas solat subuh pagi tadi. Jam di dinding telah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Kak Long dan Kak Ngah juga saya benarkan tidur semula selepas solat memandangkan waktu subuh bermula seawal jam 3.30 pagi.

Saya bergegas ke dapur untuk menyiapkan sarapan dan bekal buat Kak Long dan Kak Ngah. Sambil mengoles jem pada roti saya menggoreng pisang untuk mengisi perut anak-anak. Hari ini saya sendiri akan menghantar anak-anak ke sekolah kerana suami berada di luar negara. Sementara itu, saya naik ke tingkat atas rumah dan mengejutkan anak-anak, kemudian kembali turun ke dapur menyiapkan gorengan pisang yang masih berbaki.

“ La, tak bangun lagi Kak Long dan Kak Ngah ni,” bisik saya sendirian bila kelibat anak-anak tidak kelihatan di dapur.

“ Nurul Husna, Najwa Safiyyah. Bangun. Dah lambat ni,” laung saya dari bawah tangga dengan apron dan sudip di tangan. Kuat juga rasanya suara saya.

“ Ummi..” tiba-tiba wajah Kak Ngah terjongol di tingkat atas anak tangga. “Ye..” jawab saya dengan nada lega melihat Kak Ngah sudah terjaga dari lena.

“ Jangan jadi donkey,” Kak Ngah berkata. Alamak! Baru saya tersedar..terkena juga saya akhirnya.




Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

No comments:

Post a Comment