Sunday, March 29, 2009

.:: Murtad 30 Tahun. Salah Siapa? ::.

KUALA LUMPUR: Siapa patut dipersalahkan apabila ada mualaf kembali kepada agama asal mereka selama puluhan tahun kerana gagal mendapat bimbingan serta perhatian sewajarnya selepas memeluk Islam?

Itulah realiti pahit yang perlu difikirkan semua pihak.

Mujur, di celah kepahitan itu masih ada insan prihatin yang gigih menghulur bantuan dan bimbingan untuk mengislamkan semula sebahagian daripada mualaf terbabit, biarpun berdepan seribu kesukaran.

Wartawan Metro Ahad, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN mencungkil kisah dan pengalaman lima mualaf terbabit yang kini dibimbing pendakwah dan aktivitis sosial, Mohd Hisham Surgi, 35, atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Hisham.

YUSUF ABDULLAH, 50:

“SAYA masuk Islam ketika berumur 20 tahun dan mendaftar di Pejabat Agama Islam Sabak Bernam, Kuala Selangor, Selangor pada 1977.

“Saya menjangka akan menerima bantuan dan bimbingan, tetapi tiada siapa pedulikan saya. Akhirnya saya tidak mengamalkan ajaran Islam biarpun selepas berkahwin dan mempunyai tiga anak,” katanya.

Apabila tiada siapa peduli, Yusuf yang berasakan kurang kasih sayang daripada masyarakat Islam di sekelilingnya terus murtad dan mengamalkan hidup lamanya kira-kira 30 tahun hinggalah dia didekati Ustaz Hisham, dua tahun lalu.

Selepas diambil perhatian dan diberi didikan serta bimbingan Ustaz Hisham, Yusuf kembali mengucap kalimah syahadah.

“Yang saya kesalkan, ada di kalangan masyarakat Islam sendiri memandang serong pada mualaf hingga akhirnya individu seperti saya kembali kepada agama asal.

“Saya bukan mahu bantuan kewangan atau apa-apa imbuhan. Saya memeluk Islam secara ikhlas berkat hidayah Allah SWT,” katanya yang kini mengikuti kelas fardu ain dan fardu kifayah setiap minggu.

Yusuf enggan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya berharap agensi berkaitan serta masyarakat tidak meminggirkan mualaf atau mereka yang mahu memeluk Islam kerana ia bukan saja ‘membunuh’ sifat Islam itu yang menyayangi umatnya tanpa mengira kaum, malah menjadi penyebab mualaf tidak teragak-agak untuk murtad.



WAHAB ABDULLAH, 80-an:

Warga emas ini memeluk Islam sejak puluhan tahun lalu, tetapi akhirnya tinggal di sebuah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Sungai Besar kerana tiada siapa mempedulikannya, selain dipandang serong agensi kerajaan yang sepatutnya membantu orang sepertinya.

Akibatnya, dia menjadi jahil mengenai Islam dengan tidak melakukan amalan diwajibkan. Lebih teruk lagi, kerana tiada bantuan mana-mana pihak, dia terpaksa bekerja di sebuah rumah ibadat bukan Islam kerana disediakan penginapan di sana.

“Saya bekerja sebagai mekanik ketika muda dan masuk Islam selepas mendapat hidayah Allah SWT. Namun saya sukar mendapat didikan serta bimbingan kerana ramai tidak peduli.

“Saya mengharapkan ada pihak hadir dan memberi saya semua itu tetapi selepas puluhan tahun, saya hampa hinggalah akhirnya terpaksa tinggal di rumah ibadat bukan Islam,” katanya yang mempunyai seorang isteri serta seorang anak lelaki berpenyakit mental.

Menurut Wahab, walaupun hidupnya susah dan terpaksa makan semangkuk nasi dibahagi dua dengan isterinya sekali sehari, dia tetap bersyukur kerana akhirnya muncul Ustaz Hisham yang mengambil berat masalah dihadapinya.

Katanya, dia cuma mahu menjadi penganut Islam yang baik, tetapi jika tiada siapa mahu atau mampu memberi didikan serta bimbingan, bagaimana dia mahu melakukannya.

“Saya dibawa keluar oleh Ustaz Hisham dari rumah ibadat itu dan ditempatkan di sebuah kediaman usang di Sungai Burung, Kuala Selangor. Biarpun di situ saya hidup serba kekurangan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, saya tetap bersyukur kerana ada juga insan yang prihatin.

“Saya terpaksa mengharapkan bantuan orang lain untuk meneruskan hidup kerana saya sudah tua dan tidak mampu bekerja. Saya bukan mengemis atau mahukan kemewahan, tetapi berilah apa yang patut saja,” katanya dengan linangan air mata.



HARUN ABDULLAH, 80-an:

BELIAU mendakwa diberi gelaran Datuk ketika era almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri atas sumbangannya mengislamkan ratusan penduduk kampung di sekitar Sungai Besar.

Bagaimanapun, beliau akhirnya murtad selepas turut gagal diberi didikan serta bimbingan, malah dituduh mengamalkan ajaran agama asalnya sejak lima tahun lalu.

Harun yang kecewa akhirnya menetap di sebuah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Sungai Besar sebelum Ustaz Hisham mengetahui perkara itu dan berjaya memujuknya kembali ke pangkuan Islam.

Sejak lebih setahun lalu, Harun turut giat membantu aktivis Islam mengesan beberapa mualaf yang murtad sebelum diberi didikan selain bimbingan. Sehingga kini beliau berjaya menarik semula empat individu murtad untuk kembali ke jalan Allah SWT.



SALIM CHIA ABDULLAH, 69:

“AWAK boleh makan babi ketika bersarapan. Itu tidak salah. Apabila selesai sembahyang Zuhur, dosa itu diampunkan Allah SWT,” itu antara yang diajar oleh seorang lelaki bergelar ustaz dalam kelas fardu ain.

Bagi Salim yang memeluk Islam sejak 33 tahun lalu, perkara terbabit sangat menyedihkan kerana mualaf seperti mereka dilayan seolah-olah orang bodoh yang tidak tahu langsung berkaitan Islam.

Dia yang berkahwin dengan wanita Muslim dan mempunyai enam anak memaklumkan, mualaf lain yang turut belajar dalam kelas itu terkejut dengan kata-kata lelaki terbabit.

“Kami terus maklumkan ustaz itu, kami tidak mahu dia mengajar kami lagi kerana kami tahu dia tidak ikhlas dalam menjalankan tugas kerana ada masanya dia menuduh kami minum arak dan masih mengamalkan ajaran agama asal.

“Mengapa itu berlaku? Kami bukan masuk Islam kerana mahukan wang, menerima taraf Bumiputera atau keistimewaan lain, tapi kami ikhlas. Kami mahu belajar berkaitan keindahan Islam, ajarannya dan pelbagai lagi yang baik dan bukan sindiran atau tuduhan tidak berasas,” katanya geram.

Menurut penternak kambing itu, kadangkala ada masanya mereka perlu mendapatkan bantuan individu lain yang ikhlas memberi didikan dan bimbingan kerana tidak mahu terpesong akidah dan berlaku pelbagai lagi perkara buruk.

Katanya, jangan kerana mereka mualaf, masyarakat atau agensi berkaitan tidak memberi walau sedikit peluang untuk belajar atau menjadi sebahagian daripada komuniti Islam kerana ia bukan saja tidak adil, malah boleh dianggap zalim.

“Yang kami mahu ialah keredaan di dunia dan akhirat. Beri kami panduan dan sayangi kami sebagai saudara Islam, bukan mualaf yang mahukan kemewahan hidup atau wang zakat,” katanya.



ABDUL RAHMAN CHIA ABDULLAH, 43:

“SAYA kenal beberapa mualaf yang juga rakan akhirnya murtad kerana tidak menerima didikan serta bimbingan pihak berkaitan.

“Lebih teruk lagi, mayat beberapa mualaf tidak disempurnakan mengikut cara Islam kerana agensi berkaitan tidak tahu mereka meninggal dunia. Bagaimana perkara seperti itu boleh berlaku?” soalnya.

Menurut nelayan itu, dia mengetahui beberapa kes kematian mualaf yang mayat mereka tidak disempurnakan mengikut cara Islam kerana agensi berkaitan gagal melaksanakan kewajipan sepatutnya.

“Tolong lakukan sesuatu. Jangan hanya sibuk bercakap mengenai halal haram atau agama saja, tetapi dalam masa sama membiarkan mualaf terkapai-kapai tanpa bimbingan sempurna.

“Kepada pegawai agensi berkaitan di Sabak Bernam, jangan hanya memarahi mualaf, sebaliknya lakukan sesuatu untuk kebaikan. Tidak perlu marah-marah menyatakan mahu terus dalam Islam atau murtad kepada mualaf. Kita mahu dikasihi dan disayangi, bukan dijadikan musuh,” katanya tenang.

P/S :- Bukan Nak Cakap La. Saya Sendiri Pun Pernah Kena Dakwah Oleh Sorang Doktor Bukan Islam.DoktOr Tu tau.Sempat Lagi Berdakwah TimE Duk Check Orang.Tu La Nak Berdakwah X kira Tempat & X Memilih.Kita Sebagai Islam Camne Pulak? Think Ur Self..Erm

No comments:

Post a Comment