Monday, March 02, 2009

.:: Islam & Melayu ::.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, Allah telah memberi keizinan untuk saya sampai ke Ulu Tiram, Taman Putri Wanga. Seperti tahun-tahun sebelumnya, disebabkan perayaan Tahun Baru Cina, kedai-kedai sekitar kelihatan tutup belaka cuma kedai-kedai kecil yang dibuka. Kemungkinan kedai-kedai tersebut milik orang Melayu. Ternyata benar sangkaan itu dan saya telah ke kedai milik orang Melayu tersebut. Alhamdulillah nampaknya kedai tersebut punya pelanggan Melayu dan Cina yang ramai. Ini menunjukkan orang Melayu mempunyai 'survival' perniagaan yang tersendiri.

Kedai-kedai sekitar juga kelihatan ramai dimiliki oleh orang Melayu dan nampak masih beroperasi walaupun boleh dipertikaikan daripada segi kekemasan dan profesionalismenya. Apapun, kita kena bersyukur kerana dengan adanya mereka ini kita telah terlepas dari salah satu tuntutan fardhu kifayah, iaitu pewujudan kedai atau perniagaan milik orang Islam.

Di Malaysia, kita tidak dapat menafikan kaitan Melayu dengan Islam. Sebut sahaja Melayu, orang akan terfikir Islam. Sekiranya orang mengatakan Melayu berjaya, maka terfikir bahawa yang berjaya itu adalah orang Islam. Kalau dengar mengenai cerita orang Melayu ramai yang menghisap dadah, maka terlintas juga di benak fikiran bahawa orang Islamlah yang ramai menghisap dadah.

Adapun sikap segelintir orang Melayu yang angkuh dan bongkak dengan rezeki kurniaan Allah, mereka ini patut didoakan supaya memperolehi hidayah dari Allah swt. Mereka kena sentiasa diingatkan dengan ayat Qur'an yang bermaksud:

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah(nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari( nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih."(Ibrahim:7)

Alkisahnya, di sebuah kedai datang seorang pegawai kerajaan yang punya pangkat, berkereta mewah dan cukup bergaya. Secara peribadi, saya memang tidak mampu untuk membeli secara tunai kereta tersebut dan memang tidak berhajat langsung untuk memilikinya. Seorang pekerja Bangladesh telah mencuci kereta beliau dan telah memijak bahagian letak kaki di dalam kereta beliau.Perbuatan tersebut agak mengecewakan pegawai terbabit dan langsung diadukan kepada saya kerana mungkin terfikir bahawa saya merupakan pemilik kedai tersebut.

Pegawai tersebut dengan nada bongkaknya kemudian berkata, "Apalah, kereta setengah juta main pijak-pijak..", saya terus membalas " Siapa pijak Encik?", "Tu!, dia" sambil tangan pegawai tersebut menghala kepada pekerja Bangladesh tersebut. Subhanallah, dalam hati saya terdetik, 'takkanlah setakat pijak sikit atas getah yang dah memang tempat pijak tu pun sampai nak melenting sebegitu rupa? Apakah getah alas kaki tersebut rosak dek dipijak oleh pekerja tu. Lagipun pekerja Bangla tu nak cuci kereta dia.'

Begitulah sesetengah manusia, begitu cerewet dalam masalah yang amat kecil. Baginya kereta mewah miliknya itu adalah harta yang sangat istimewa, tidak boleh diganggu malah jika calar sedikit bagai membawa petanda buruk. Salah sedikit, bagai membawa bala. Cara berdirinya pun saya lihat seperti cara berdiri bukan orang yang tawaddhuk, bagai ingin semua tahu bahawa beliau merupakan orang besar. 'Tuan, tuan boleh bangga dengan jawatan yang tuan miliki, tapi tuan kena ingat, belum tentu tuan boleh berdiri seperti mana tuan berdiri sekarang ketika tuan tua nanti, apatah lagi di akhirat kelak'.

"Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri." ( An-nisa': 4)



*Pesanan editor: Cerita ini adalah bertujuan untuk dijadikan pengajaran . Ambillah apa yang baik darinya sebagai bahan muhasabah diri namun sebagai seorang saudara Islam laksanakanlah hak mu yakni sekecil-kecilnya untuk bersangka baik sesama saudaramu. Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan kerana dengan Islamlah Melayu mampu bangkit berdiri bak kata pepatah 'tidak Melayu hilang di dunia'. Maka jagalah amanah yang diberikan, jadilah seorang Islam Melayu yang menjaga hak pada agamaNYA dan bangsanya.Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment