Sunday, March 29, 2009

.:: Dakwah Madihah ::.

TAHNIAH kepada adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, 18, atas kejayaannya menempa sejarah pendidikan negara dengan pencapaian 20A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Bagi individu berlatarbelakangkan agama seperti saya, kejayaan itu lebih manis apabila datang daripada seorang muslimah yang sempurna penutupan aurat dan bersekolah agama.


Lebih manis lagi apabila dia lahir daripada keluarga yang tidak berada daripada sudut kebendaan, tidak pula dilimpahi kemudahan tambahan seperti tuisyen.

Ini yang dinamakan dakwah bil hal, iaitu satu bentuk teladan dan ajakan kepada kebaikan melalui pencapaian dan teladan hasil kejayaan serta perlakuan diri, bukan melalui percakapan atau tulisan.

Benar, hampir seluruh negara tertumpu kepada Madihah dan tabiat manusia, khususnya orang Malaysia, adalah ingin mengetahui ‘rahsia’ kejayaannya.

Lebih biasa kita dengar adalah cuba mendapatkan jalan pendek kepada kejayaan sama. Kasihan juga memikirkan minda sebahagian muslim yang inginkan kejayaan tetapi melalui rahsia tertentu, ayat al-Quran tertentu, doa khusus dengan ‘power’ tertentu dan pelbagai lagi.

Harapannya, resipi rahsia itu semua akan memberi satu kuasa luar biasa walaupun tanpa susah payah dalam berusaha. Nyata, mereka cuba mengelak jalan sukar dan panjang.

Ia satu minda songsang kerana semua kejayaan melalui jalan pendek tidak kukuh asasnya atau HAMPIR SEMUANYA diperoleh dengan jalan korup dan salah.

Yang lebih menarik pihak media dalam kisah adik Nik Madihah bukan sekadar kejayaannya, tetapi juga ketabahannya mengharungi pembelajaran dalam suasana serba kekurangan harta benda yang kerap dijadikan ukuran kebolehjayaan seseorang. Jelas, limpahan kebendaan bukan kewajipan untuk mencatat kejayaan cemerlang.



Ibadah dan kejayaan

Kenyataan Nik Nur Madihah yang berterus terang berkenaan kebiasaannya berpuasa Isnin dan Khamis turut memberi impak positif kepada ibadah puasa yang adakalanya dilihat serong oleh manusia bertuhan akal (mereka adalah kumpulan sekular) yang sering mendakwa puasa boleh membantutkan prestasi pelajaran dan kerja kerana keletihan selain tidak bermaya.

Tudung labuhnya tidak menutup mindanya daripada cerdas sebagaimana anggapan dan tuduhan sebahagian wanita moden yang membenci pakaian Islam ini.

Bibirnya tidak perlukan warnaan merah ‘lipstick’, matanya tidak perlukan ‘eyeshadow’ warna abdomen langau yang kehijauan dan pipinya tidak perlukan ‘blusher’ merah supaya dilihat bijak. Semuanya ‘natural’ (semula jadi). Beliau juga tidak perlukan ‘skirt’ pendek bagi menampakkan kecekapan mindanya.

Mujur adik Madihah tidak memaklumkan berkenaan ibadah solat malam dan tahajjudnya. Jika tidak, tentunya mana-mana individu yang pernah ‘memperkecilkan’ solat malam dengan hujah ia memundurkan prestasi pelajar akan seolah-olah ditampar kiri dan kanan serta terkena jurus ‘flying kick’ di perut.



Cabaran mengekal kejayaan

Erti kejayaan sangat luas dan subjektif. Sebagai umat Islam, kita wajib melihatnya daripada perspektif keagamaan terlebih dulu sebelum tenggelam dengan takrifan dan definisi kejayaan daripada kaca mata kebendaan.

Saya tidak ingin memanjangkan takrif dan erti berkenaan di dalam artikel ini. Apapun, saya ingin merakam tahniah kepada adik Nik Nur Madihah dan pelajar lain yang berjaya menempa kecemerlangan dalam peperiksaan SPM.

Namun beringatlah, pengalaman saya mengambil SPM pada awal 1990-an dan melihat kejayaan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan itu memperlihatkan gambaran dan analisis berbeza.

Tidak sedikit pelajar yang menyapu bersih 1A dalam semua atau majoriti mata pelajaran, tetapi tewas dan jatuh terjelepok ketika di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Puncanya sangat pelbagai, namun asasnya adalah akibat lemah jati diri hingga ‘cair’ dengan alam IPT yang lebih bebas berbanding sekolah.

IPT adalah satu alam permulaan yang banyak menguji proses kebijaksanaan seseorang dalam menentukan hala-tuju kehidupan dan ujian untuk membuat pelbagai keputusan kehidupan. Ramai juga pelajar cemerlang yang gagal, lalu kejayaan SPM mereka hanya tinggal kenangan manis.

Selepas keluar dari IPT, mereka bukan lagi individu teladan dan kebanggaan agama serta negara, sebaliknya hanya orang biasa, malah mungkin duduk juga sebaris dengan individu yang gagal di dalam SPM.

Tanpa mengira lokasi IPT, sama ada di dalam atau luar negara, pokok pangkal kelangsungan kejayaan adalah terletak pada hati dan diri sendiri.

Ramai berbangga apabila dapat melanjutkan pelajaran ijazah pertama di luar negara, namun pulangnya tidak seperti manusia.

Rambut kusut-masai lagak penyanyi rock, pakaiannya berkiblatkan Barat, hati dan minda menggenggam erat ideologi Barat, percampuran bebas dianggap bertamadun, duduk serumah lelaki dan perempuan bujang dianggap ‘bagus’ serta jimat.

Bukan semua berambut panjang salah, memang benar ia terletak kepada niat dan pelbagai faktor lain (antaranya jimat ‘bajet’) namun ‘point’ yang ingin saya tegaskan di sini adalah, ramai yang penampilan luarannya sengaja diniat menyamai Barat hasil kekagumannya kepada negara itu.

Lebih malang, status dara dan terunanya sudah lama mengucapkan selamat tinggal. Akibat kelemasan dengan cara hidup masyarakat Barat, dirasakan cara hidup itu sebagai mulia dan terkedepan.

Kasihan melihat pelajar cemerlang SPM seperti itu. Mereka dibiayai oleh kerajaan Malaysia hasil wang masyarakat Malaysia, namun rupa-rupanya akal mereka hanya bijak menjawab soalan peperiksaan, tetapi tidak bijak menangani persoalan kehidupan realiti, tidak bijak membuat keputusan mungkin kerana tiada ‘silibus khusus yang dibocorkan oleh guru’.

Kegagalan ini adalah akibat hati yang gersang dan kering daripada panduan Ilahi.



Minda robot akan karat

Itu jika dilihat daripada aspek keagamaan, namun bukan sekadar itu saja. Pengalaman saya mengendalikan banyak temuduga, demikian juga hasil maklumat rakan di industri kewangan di Malaysia, juga adik beradik saya yang kini banyak mengendalikan temuduga kerja di syarikat masing-masing.

Dapat saya kumpulkan kesimpulan bahawa, keputusan 3.5 hingga 4.0 CGPA di IPT juga tidak menjamin kemampuan dan bakat graduan.

Saya pernah menulis sekelumit panduan ketika temuduga, satu proses ujian yang kerap mendedahkan kekeringan bakat dan minda calon, walaupun dulunya dia seorang cemerlang SPM, juga ‘top scorer’ di IPT.

Bukan niat saya menghilangkan motivasi pelajar untuk mencapai keputusan mantap lagi cemerlang.

Ia satu kewajipan dan tuntutan, tetapi aspek kecemerlangannya perlu diluaskan lagi. Menjadi seorang mat atau minah buku di IPT adalah teknik mudah untuk menjadi graduan berminda robot, cepat pula tarikh luputnya.

Bijaklah mengurus pengajian di IPT, jangan menjadi ulat buku berminda robot yang mudah ‘outdated’ (pupus) daripada dunia realiti, akhirnya menjadi komputer buruk berharga murah.

Bagi menjadi minda manusia cemerlang, pelajar cemerlang wajib membuka minda dan terbabit dalam banyak masalah sama ada persatuan, dakwah dan aktiviti di IPT.

Semakin banyak dan pelbagai masalah yang menyerang ketika di IPT lalu dia mampu melepasinya, kian tinggilah antibodi diri. Lebih daripada itu, andalah cahaya baru buat kebangkitan agama dan pengemudian hala tuju masyarakat.

Saya bukan bercakap kosong, tetapi hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman. Sebenarnya, ramai yang berjaya dan ramai juga yang saya kenali. Jalan mereka hampir serupa, cuma belum dan tidak dibukukan untuk tatapan ramai.

Nasihat saya buat Nik Nur Madihah dan pelajar lain yang mencatat kejayaan SPM, sama ada anda memilih United Kingdom (UK), Jordan, Mesir, Malaysia atau apa negara sekali pun, jalan kejayaan masih jauh.

Hempasan ombak cabaran dalam membuat keputusan masih belum melanda. Bersedialah, dan gariskan awal-awal hala tuju kejayaan diri.

Beristisyarlah (bertanya dan bermesyuarat) dengan individu yang mempunyai hikmah dan pengalaman, sesungguhnya kejayaan melalui pengalaman itu satu realiti, sedangkan kejayaan peperiksaan bertulis hanya teori.

Akhirnya, khas buat Nik Nur Madihah, selamat datang ke dunia barumu. Awasilah ia dengan minda dan hati yang sedar.

Segala jenis syaitan menunggumu di kiri kanan, depan dan belakang. Kenali segera mana syaitan dan mana malaikat. Semuanya tercatat di dalam Al-Kitab dan Khazanah Nabi serta sahabat.

No comments:

Post a Comment