Thursday, February 12, 2009

.:: Nurjannah ::.






Sebak! Hati ini terlalu sebak. Lutut ini
terasa lumpuh untuk menanggung beban
yang teramat berat. Tak mampu lagi
dipikul oleh bahuku, apatah lagi di usia
yang telah agak banyak ini. Kalaulah aku
tahu beginilah hatinya, sumpah aku tidak
lakukan semua ini. Dia tetap berwajah
tenang.

Tidak kelihatan walau secalit
resah di kelopak mata, di pipinya malah
bibirnya. Segalanya masih sama seperti
dulu. Aku leka. Leka dengan setiap
kehendak hatiku. Semua tingkah laku ku
tidak pernah dipersoalkan.

Cuma ketika dia menurunkan tanda tangan
keizinan, aku lihat ada titisan air mata
gugur di pipinya. Itulah kali terakhir
aku lihat dia menangis.

Dia tidak menuntut apa-apa dariku untuk
dirinya selain dari mengingati aku
tentang nafkah anak-anak kami yang
seramai lima orang. Dia meninggalkan
perkarangan mahkamah, setelah sedikit
sesi kaunseling selesai. Aku mempelawa
untuk menghantar pulang. Dalam senyuman
yang kukira dibuat-buat, dia menolak
dengan alasan, mulai dari hari ini dia
akan belajar untuk mengurus hidupnya
sendiri.

Aku tidak ambil pusing dengan perkara
itu. Aku meneruskan niatku mengahwini
Normi. Dia tidak sedikit pun membentak
bila aku memintanya menggosok sepasang
baju Melayu, pakaian pengantinku. Cuma
di kala itu aku kehilangan senyuman
manja daripadanya. Dia terus berwajah
tenang dan

syahdu. Sebelum aku melangkah pergi, dia
masih seperti selalunya, bersalaman dan
mencium tanganku sambil berpesan jaga
diri baik-baik.

Aku mengahwini Normi setelah setahun
menjalin persahabatan. Aku sendiri
kurang pasti mengapa aku tertarik dengan
Normi. Cuma yang aku sedar, aku

kasihankan kepada anaknya yang sedari
awal memanggil aku ayah. Mungkin juga
kerana Normi cantik. Perwatakannya yang
manja membuatkan ramai lelaki tergoda.
Dan akulah yang paling kalah dengan
kemanjaannya. Walau apa pun alasan,
antara aku dan Normi memang ditakdirkan
ada jodoh, kerana itu kami berkahwin.
Walau ibu dan ayahku malah s audara mara
menentang hebat kemahuanku. Apa
kurangnya Nurjannah, soal mereka.

Memang aku akui, tiada cacat celanya
Nurjannah. Dia memiliki semuanya. Cantik
dan seorang perempuan yang lengkap
memenuhi ciri-ciri seorang isteri, ibu
dan pengasuh anak-anak yang baik. Dia
juga pernah menjadi rebutan pemuda
sekampung. Di antara mereka, aku orang
yang paling bertuah menjadi pilihan
Nurjannah. Tuah itu aku sambut dengan
penuh rasa
kesyukuran. Dia melahirkan zuriatku
seramai lima orang. Dia tidak pernah
mengeluh keletihan melayan kerenah
anak-anak walau aku kurang membantu.
Keperluanku juga dijaga sepenuhnya.
Tiada apa yang dimusykilkan di hati ini
terhadapnya. Segalanya cukup sempurna.

Pendidikan agama untuk anak-anakku juga
diberikan oleh Nurjannah. Semua
anak-anakku khatam Al Quran di usia
sepuluh tahun. Semua itu Nurjannah yang
ajarkan. Anak-anakku tahu akan
tanggungjawab mengerjakan sembahyang

seawal usia enam tahun. Itu juga
Nurjannah, isteriku juga yang ajarkan.
Bukan sekadar anak-anak malah aku
sendiri pun diuruskan oleh Nurjannah.
Ketika aku sedang mandi, pakaian kerjaku
dari baju hinggalah ke stokin Nurjannah
sudah aturkan. Aku cuma capai sahaja.
Ketika aku berwuduk, Nurjannah telah
siap membentang sejadah sembahyang.
Setiap kali aku pulang kerja,
sekurang-kurangnya, segelas minuman
telah tersedia di ruang rehat.

Nurjannah tidak pernah menyusahkan aku
walau menghantarnya ke pasar. Katanya,
dia boleh pergi sendiri. Selama sebelas
tahun hidup bersamanya, Nurjannah faham
benar seleraku. Selama sebelas tahun itu
juga seingatku tidak pernah sekalipun
Nurjannah menyakiti hatiku.

Menjelang hari-hari perayaan, ketika
rakan-rakan sepejabatku mengeluh kerana
isteri di rumah minta menukar langsir
baru, Nurjannah isteriku di rumah
terbongkok-bongkok mencuci langsir lama.
Bila kami diberi bonus tahunan oleh
majikan, rakan-rakanku resah kerana
isteri masing-masing turut meminta
imbuhan untuk membeli seutas dua barang
kemas. Tetapi
isteriku Nurjannah tidak pernah meminta
semua itu. Nurjannah menasihati aku agar
menyimpan wang lebihan. Untuk kegunaan
masa depan katanya.

Akhirnya aku menggunakan wang simpanan
tersebut untuk perkahwinanku dengan
Normi, madu Nurjannah. Setelah berkahwin
dengan Normi, barulah aku merasai segala
masalah seperti yang dihadapi
teman-teman sepejabatku. Apa nak buat,
terlajak perahu boleh diundur, terlajak
perbuatan sepahit mana sekalipun,
terpaksalah ditelan jua. Apatah lagi
aku dan Normi telah dikurniakan seorang
cahaya mata.

Sepanjang perkahwinan dengan Normi, aku
memang jarang-jarang sekali pulang ke
rumah Nurjannah. Kadang-kadang seminggu
sekali, kadang-kadang sebulan sekali.
Itupun untuk memberi wang perbelanjaan
anak-anak. Nurjannah tetap dengan sifat
sabarnya. Walau aku memperlakukannya
sedemikian, dia tidak pernah marah-marah
apalagi mengamuk. Setiap kali
kepulanganku, dia sambut tanpa secebis
riak kemarahan. Bersalam dan mencium
tanganku. Dia tetap menyediakan makanan
kegemaranku. Cuma yang amat aku terasa,
aku ke! hilangan senyuman mesranya.

Dia pernah meminta izinku membantu
abangnya yang berniaga di kedai runcit
berhampiran dengan rumah kami. Aku
sedar, mungkin perbelanjaan harian
dariku tidak mencukupi, tetapi aku
buat-buat tidak tahu. Lagipun Nurjannah
tidak pernah menyebutnya. Aku lihat
tubuhnya kurus sedikit. Aku bertanya
padanya apakah dia sakit atau ada
apa-apa masalah. Namun
dia hanya menggeleng kepala.

Aku tidak pasti reaksi anak-anak
terhadapku setelah aku berkahwin lain.
Kelima-lima anakku dengan Nurjannah
tidak pernah menunjukkan tanda-tanda
membantah atau marah. Cuma antara kami
kurang mesra, mungkin kerana sudah
jarang berjumpa. Alhamdulillah aku
punyai anak-anak sebaik Nurjannah.

Kelima-lima anakku sudah berjaya.
Semuanya sudah menjejaki menara gading.
Terasakan begitu cepat masa berlalu.
Anak-anakku sudah menjangkau dewasa.
Fahmi anakku yang sulung menjawat
jawatan doktor, Fariza menjadi
pensyarah, Fakhrul pu la pegawai di
jabatan kerajaan, Farihin seorang guru
dan Farina telah tamat dan majlis
konvokesyennya
akan diadakan dua hari lagi.

Aku pulang hari ini, di atas permintaan
Farina agar aku dan ibunya hadir di
majlis bersejarah baginya. Seingat aku
telah dua bulan aku tidak menjengah
Nurjannah. Namun kepulanganku tetap
disambut baik oleh Nurjannah. Bersalam
dan mencium tanganku seperti dulu-dulu.
Dia tidak pernah menunjukkan riak kurang
senang padaku. Walhal sudah banyak
perkara yang telah aku lukai hatinya,
namun sukar untuknya menunjukkan rasa
memberontak. Kesabarannya banyak
mengajarku apa erti kesetiaan seorang
isteri. Aku akui bukan seorang suami
yang adil. Adil dalam mencurahkan kasih
sayang. Mungkin juga pengaruh isteri
mudaku, namun aku tidak menyalahinya.
Keterlanjuranku mengahwini memberi satu
perbandingan yang nyata antara keduanya.
Namun kesalahan masih berpihak padaku
seolah-olah tidak mampu untuk berlaku adil.!

Hari ini Nurjannah memasak lauk
kegemaranku, udang masak lemak cili
padi. Selera sungguh aku makan. Suasana
di meja makan sunyi sepi. Fariza yang
juga makan bersama kami, aku lihat asyik
menyuap nasi ke mulut. Nurjannah membisu
seribu bahasa dan aku sendiri bagai
kehilangan cerita. Sebenarnya jauh di
sudut hati, aku terlalu lama rindukan
gelak tawa
Nurjannah. Entah kenapa hari ini aku
kehilangan punca mencari kemesraannya.

Sesudah makan malam aku duduk-duduk di
ruang tamu di samping Fariza. Nurjannah
menghampiriku sambil menghulur satu
sampul surat berwarna jingga. Aku masih
ingat, itulah sampul surat kad undangan
perkahwinanku dengan Normi. Aku bagaikan
tersentak. Borang permohonan cerai.
Telah lengkap diisi hampir terlepas dari
tanganku. Aku terpempan. Terkedu. Hilang
sudah segala kekuatan yang ada. Aku cuba
menolak rasa sangsi. Adakah aku berdepan
dengan realiti atau sebaliknya. Aku
lihat reaksi Nurjannah, tenang dan
bersahaja. Ada sesuatu yang ingin
diutarakannya. Aku menunggu dengan
sabar, mahu penjelasan yang wajar darinya.

"Bang, lapan belas tahun yang lalu,
Jannah dengan rela hati menandatangani
borang permohonan poligami, Jannah harap
abang juga boleh melakukannya sekarang,"
pintanya dengan suara yang aku rasakan
bagai belati menghiris hati. Rasanya
ingin gugur air mata lelakiku. Namun
kutahan. Adakah ini balasan untuk
pengorbanan yang telah kau lakukan.
Kukira langkah mu tidak akan terlanjur
sejauh itu. Nurjannah, barang kali
beginilah deritanya hatimu dulu, ketika
mahu melepas pergi orang yang dikasihi..

'Jannah tak mahu abang terus dihumban
dosa kerana sememangnya abang tidak
pernah berlaku adil. Selama ini pun
Jannah hanya tak mahu kehidupan
anak-anak kita terganggu lantaran sikap
kita. Jannah rasa pengorbanan Jannah
sudah sampai ke penghujungnya. Lagi pun
kesabaran Jannah sudah tinggal sia-sia.
Jannah tidak mahu jadi isteri derhaka
apabila kesabaran sudah tiada lagi.
Anak-anak kita pun sudah dewasa, mereka
sudah boleh hidup sendiri," Nurjannah
bersuara lagi tanpa sebarang riak api
kebencian kepadaku.

"Kami adik beradik telah lama kumpul
wang untuk hantar ibu tunaikan fardhu
haji tahun ini," sambung Fariza. Aku
merenung mata Fariza dalam-dalam. Lama.
Sehinggalah Fariza bersuara.

"Kami bukan tak mahu hantar ayah ke
Mekah, tapi kalau ayah pergi nanti,
siapa nak jaga mak cik Normi, kan ayah
tak pernah tinggal mak cik Normi
sorang-sorang."

"Jannah, abang tak mahu kehilangan
Jannah, biar abang tinggalkan Normi,"


pintasku cuba melerai! kekusutan yang
membelit diri. "Sejauh mana sekali pun
abang tinggalkan Normi, hati Jannah
tetap terluka. Tanda tangan borang tu
bang," pinta Nurjannah sungguh-sungguh.

Aku rasakan itulah dentuman petir yang
paling kuat pernah memanahi
pendengaranku dan beban yang teramat
sarat yang menghempap bahuku. Tiba-tiba
aku terkenangkan sejadah yang sering
dihampar oleh Nurjannah isteriku. Dengan
langkah yang longlai aku mengambil
wuduk, Nurjannah hanya memerhati dari
jauh. Di dalam bilik sembahyang aku
mencari-cari
sejadah yang terbentang. Tiada. Aku
jatuh terduduk.

*Bersyukur apa yang ada itu lebih baik
dari lupa diri."

Mutiara kata

Menikmati kehidupan itu adalah lebih baik dari hanya sekadar memerhati kehidupan

No comments:

Post a Comment